Penerbitan dalam talian, Today, akan digabungkan dengan CNA pada 1 Oktober, menjadi majalah hujung minggu.
Mengumumkan langkah itu pada 28 Ogos, Mediacorp menyatakan dalam satu kenyataan:
“Penggabungan ini akan membolehkan yang terbaik daripada Today – kewartawanan asli bermutu tinggi – disampaikan melalui wadah digital CNA kepada khalayak CNA yang jauh lebih besar di Singapura dan di luar negara.”
Dalam nota yang dilihat oleh akhbar The Straits Times, ketua editor Mediacorp, Encik Walter Fernandez, berkata semua kakitangan akan ditawarkan peranan dalam CNA, sama ada sebagai sebahagian daripada pasukan yang bekerja bagi majalah digital hujung minggu baru itu atau mengukuhkan pasukan lain, yang paling sesuai dengan kemahiran mereka.
“Langkah ini... juga akan membantu mengembangkan trafik digital CNA yang sudah luas dan memperdalam lagi pendekatannya, terutama pada hujung minggu,” kata Encik Fernandez.
Dalam notanya, Encik Fernandez berkata pilihan berbeza telah diterokai sepanjang 2023 sebelum penggabungan itu diputuskan.
Beliau berkata keputusan itu dibuat disebabkan faktor lebih ramai orang di seluruh dunia yang penat membaca berita dan mengelak berita secara aktif, yang menurutnya telah diburukkan lagi dengan perubahan kepada algoritma wadah media sosial tertentu untuk mengurangkan penekanan berita dan mengurangkan penemuan berita.
Beliau juga berkata terdapat peningkatan ketara dalam pertindihan antara pembaca Today dengan CNA Digital.
Today kali pertama dilancarkan sebagai akhbar pagi percuma pada November 2000, sebagai sebahagian daripada langkah meliberalisasikan suasana media tempatan.
Ia adalah sebahagian daripada usaha sama antara Media Corporation of Singapore, SMRT dengan SingTel Yellow Pages.
Akhbar itu diedarkan di stesen MRT dan pusat pertukaran bas, disediakan untuk penumpang yang sibuk untuk mendapatkan berita pagi mereka semasa dalam perjalanan.
Ia menjadi digital sepenuhnya pada Oktober 2017, dengan sekitar 40 kakitangan diberhentikan kerja pada masa itu.
Encik Fernandez berkata beliau teruja dengan fasa seterusnya dalam evolusi penerbitan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg