Hampir 300,000 penduduk Tampines boleh mendapatkan maklumat mengenai sumber seperti klinik, jagaan warga emas dan khidmat pemerintah di kejiranan mereka melalui satu laman baru.
Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East telah melancarkan platform akses khusus sesebuah bandar yang pertama, TampinesCaresGoWhere, bersama SingHealth pada 17 Ogos, yang menyatukan semua maklumat ini.
Terdapat 84 khidmat jagaan kesihatan seperti klinik dan pusat pemulihan; sembilan agensi pemerintah termasuk pusat khidmat sosial; dan 24 khidmat kemasyarakatan seperti pusat khidmat keluarga yang tersenarai dan kesemuanya terletak di kejiranan Tampines.
Pengguna platform yang dihasilkan dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) boleh menyertakan poskod atau kata kunci bagi mempelajari lebih lagi tentang khidmat atau sumber relevan.
Mereka kemudian boleh menyaring hasil pencarian itu menerusi kumpulan yang tertera seperti golongan muda, keluarga atau warga emas.
Acara pelancaran laman ini diadakan seiringan dengan acara Sihat Bersama Di Tampines (Healthier Together@Tampines) di Our Tampines Hub (OTH).
Ketika ditemui di majlis pelancaran TampinesCaresGoWhere, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:
“Kami telah bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk menggerakkan inisiatif ini melalui acara Sihat Bersama di Tampines supaya penduduk terdedah dengan perkhidmatan yang sedia ada.
“Penting untuk penduduk Tampines tahu di mana mereka boleh mendapatkan rawatan dan juga cara-cara pencegahan daripada penyakit, demi mengekalkan dan mengamalkan hidup sihat yang berpanjangan.”
Beliau juga menambah pihaknya sudi membantu kejiranan lain seandainya mereka ingin mengusahakan laman serupa.
Apabila ditanya bagaimana laman sebegini dapat membantu warga emas yang kurang mesra dengan teknologi, Encik Masagos berkata platform akses sehenti ini berguna untuk golongan penjaga mendapatkan bantuan untuk warga emas yang dijaga.
Acara dua hari Sihat Bersama di Tampines berjaya menarik lebih 800 penduduk dan telah diusahakan bersama CDC North East, Penasihat Akar Umbi Tampines, Pertubuhan Akar Umbi, SingHealth dan badan utama seperti Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Healthier SG, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).
“Perkhidmatan ini khusus buat masyarakat Tampines pada waktu ini – sementara kami telah menggabungkan semua khidmat di bawah satu bumbung untuk fasa pertama, dan seterusnya, kami akan menambah dan berkongsi khidmat lain, seperti kegiatan sihat dan lokasinya untuk fasa mendatang,” kata Mayor CDC North East, Encik Desmond Choo.
Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan (Sistem Kesihatan Serantau) di SingHealth, Profesor Lee Chien Earn, pula mengulas:
“SingHealth sangat teruja untuk bekerjasama dengan CDC North East, GovTech dan rakan kongsi masyarakat dalam matlamat bersama kami memperkasakan penduduk untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.
“Bersama-sama, kita boleh membangunkan dan mengembangkan ekosistem kesihatan dan penjagaan di Tampines untuk memenuhi bukan sahaja keperluan penduduk kita tetapi juga aspirasi kesihatan mereka.”
Menurutnya lagi, mengenal pasti dan menangani keperluan kesihatan penduduk yang pelbagai – daripada penjagaan pencegahan hingga campur tangan terapeutik dan perkhidmatan sokongan – serta memudahkan secara aktif kerjasama merentasi ekosistem kesihatan dan penjagaan, perkhidmatan klinikal dan sumber masyarakat dapat memastikan bahawa ekosistem penjagaan mudah dilayari dan diakses, membolehkan penduduk menerima penjagaan menyeluruh yang tersusun dan berterusan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg