Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persiapan bazar Hari Raya di Geylang Serai sudah bermula

Harga sewa antara $3,000 hingga $15,000; diadakan dari 26 Feb hingga 31 Mac
Jan 16, 2025 | 4:06 PM
Khemah di bahagian depan Wisma Geylang Serai (WGS) yang menghadap Changi Road sudah pun siap didirikan bagi acara perayaan tahunan Bazar Raya Geylang Serai 2025.
Khemah di bahagian depan Wisma Geylang Serai (WGS) yang menghadap Changi Road sudah pun siap didirikan bagi acara perayaan tahunan Bazar Raya Geylang Serai 2025. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Persiapan bagi Bazar Raya Geylang Serai 2025 sudah pun bermula, dengan khemah di bahagian depan Wisma Geylang Serai (WGS) yang menghadap Changi Road sudah pun siap didirikan bagi acara perayaan tahunan tersebut.

Sementara itu, sebahagian bahan lantai telah dibentangkan di kawasan tanah lapang belakang WGS, dengan kerangka khemah yang belum dipasang dilihat tersusun di tepi.

Beberapa sepanduk dengan terteranya nombor syarikat pengendali bazar pada 2025 untuk peniaga yang ingin menyewa gerai di bazar akan datang itu turut dilihat apabila Berita Harian (BH) mengunjungi kawasan tersebut pada 15 Januari.

Umat Islam akan menyambut bulan suci Ramadan pada Mac ini, dengan Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada hujung bulan itu.

Menjawab pertanyaan BH, WGS – penganjur bazar – berkata kontrak bagi mengendalikan Bazar Raya Geylang Serai 2025 itu telah dianugerahkan kepada syarikat S-Lite Event Support pada Disember 2024.

“Persiapan bagi bazar kini sedang dijalankan.

“Kami akan berkongsi lebih banyak butiran terperinci mengenai acara menarik ini apabila ia tersedia,” kata mereka.

Satu dokumen yang dikongsi dengan BH oleh salah seorang peniaga yang sedang mempertimbang untuk menyertai bazar itu menunjukkan bazar 2025 akan diadakan selama 33 hari dari 26 Februari hingga 31 Mac dan menampilkan sekitar 500 gerai.

Setiap gerai berukuran sembilan kali sembilan kaki.

Harga sewa paling tinggi ialah $15,000.

Pada tahun sebelumnya, WGS telah menetapkan had sewa maksimum sebanyak $15,000 bagi setiap gerai untuk Bazar Raya Geylang Serai 2024 menyusuli maklum balas dan keprihatinan orang ramai, khususnya peniaga, mengenai kos sewa gerai.

Menurut dokumen yang dikongsi itu, sewa bagi gerai runcit di bazar pada 2025 adalah antara $3,000 dengan $13,000, bergantung pada lokasi gerai.

Bagi gerai makanan dan minuman (F&B) pula, harga sewa paling rendah adalah $10,000 dan yang paling tinggi adalah $15,000, juga bergantung pada lokasi gerai.

Ini tidak termasuk kos lain seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos elektrik serta bekalan air. Jika ini diambil kira, harga sewa boleh mencecah sehingga sekitar $20,000.

Antara mereka yang sedang mempertimbangkan untuk menyertai bazar di Geylang Serai itu tahun ini (2025) ialah Encik Muhammad Hasif Othman, pemilik perusahaan snek dan minuman Katoshka.

Beliau telah berniaga di bazar Geylang Serai setiap Ramadan sejak 2016, kecuali dari 2020 hingga 2022 disebabkan Covid-19.

“Sebab kami tetap memilih bazar Geylang Serai untuk berniaga adalah kerana kami selesa dengan kawasan ini. Lagipun, pengunjung di Geylang ini lebih dinamik – pelbagai kumpulan individu datang ke Geylang.

“Bazar di Geylang Serai juga diadakan dengan waktu operasi harian lebih panjang dan tempohnya lebih lama sehingga hujung Ramadan,” kata beliau.

Seorang lagi peniaga yang berniaga di bazar Geylang Serai setiap tahun sejak 2016 ialah Encik Hairul Nizam Ramle, pemilik jenama pakaian tradisional Melayu, Minimalist Studio SG.

Beliau berkata Geylang Serai adalah tempat yang menjadi pilihan ramai peniaga kerana ia merupakan hab dan nadi masyarakat Melayu/Islam.

“Geylang Serai tetap menjadi pilihan utama ramai orang Melayu yang mencari makanan dan barangan tradisional.

“Orang ramai akan turun ke Geylang Serai sekurang-kurangnya sekali, walaupun terdapat bazar lain serata Singapura.

“Saya berharap pihak penganjur akan berusaha untuk menguar-uarkan dan memeriahkan lagi suasana bazar supaya dapat menarik lebih ramai orang,” kata beliau. – Laporan tambahan BATRISYIA BAHARIM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg