Masjid Ar-Raudhah telah mengadakan acara makan malam pada 8 Mei lalu sebagai prapelancaran Projek Golf Amal masjid tersebut.
Acara di Warren Golf & Country Club ini dihadiri oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam sebagai tetamu terhormat.
Projek Golf Amal ini bertujuan mengumpul dana untuk projek peningkatan masjid yang memerlukan $8.5 juta bagi menampung kos prasarana.
Kerja peningkatan dijangka bermula pada suku keempat tahun 2024.
Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok, Encik Murali Pillai, dan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Saat Abdul Rahman, juga turut hadir dalam majlis makan malam amal yang mendapat sambutan baik.
Masjid Ar-Raudhah berbesar hati dan berterima kasih dengan sokongan yang menggalakkan.
Sebanyak 22 meja telah dijual kepada masjid-masjid, syarikat-syarikat korporat, kelab masyarakat dan juga kuil pada malam itu.
Antaranya ialah Masjid Hussain Sulaiman, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al Mukminin, Masjid Yusof Ishak, Bengawan Solo serta Badaling Holdings Pte Ltd.
Menerusi acara ini, sebanyak hampir $200,000 telah berjaya dikumpulkan manakala Masjid Ar-Raudhah menyasarkan secara keseluruhan kutipan sebanyak $500,000 daripada Projek Golf Amal ini.
Pengerusi Eksekutif Kanan Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan, berkata beliau amat teruja dengan sambutan yang diterima bagi projek tersebut yang bakal diadakan pada September 2024 ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Presiden, Anggota Parlimen, Muis, pengerusi-pengerusi masjid, penderma korporat, penasihat golf, pemimpin akar umbi dan pemimpin berbilang agama atas semua sokongan hebat untuk menjayakan majlis tersebut,” ucap Ustaz Ali.
Beliau masih mengharapkan sokongan dan bantuan semua agar mencapai sasaran untuk projek peningkatan Masjid Ar-Raudhah melalui acara Pertandingan Golf Amal yang bakal diadakan pada 18 September 2024.
Sesiapa yang berminat mahu menyokong Projek Golf Amal ini, anda boleh menghubung Masjid Ar-Raudhah di talian 6899-5840 untuk pertanyaan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg