Seorang kapten bas SMRT berusia 48 tahun digantung kerja susulan satu kemalangan yang melibatkan seorang pekerja binaan di simpang jalan Anson Road berhampiran tapak binaan.
Video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah bas SMRT belok kanan di simpang berkenaan semasa seorang pekerja binaan meletakkan sebuah kon lalu lintas di lorong paling kiri.
Pekerja itu, 33 tahun, kemudian dilihat membelakangi bas yang menuju ke arahnya. Bas itu kemudian melanggar pekerja tersebut dan sekurang-kurangnya satu roda bas kelihatan berguling di atasnya. Selepas bas berhenti, pekerja itu duduk sebelum dibantu untuk berdiri.
Pekerja itu kemudiannya dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Besar Singapura.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), SMRT berkata bahawa kemalangan itu, yang melibatkan perkhidmatan bas 970, terjadi pada 27 Jun pada kira-kira 5.20 petang.
“Tiada penumpang di dalam bas. Pekerja itu dihantar ke hospital dan pasukan penjagaan kami sedang berhubung dengan pekerja itu untuk menawarkan bantuan dan sokongan,” kata timbalan pengarah pengurusan Bas SMRT, Encik Vincent Gay.
Kapten bas yang terlibat itu telah digantung kerja dan kami akan membantu polis dengan siasatan mereka.”
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, mereka dimaklumkan pada 5.25 petang mengenai kemalangan itu. Siasatan sedang dijalankan.
ST telah menghubungi Kementerian Tenaga Manusia untuk maklumat lanjut.
Sekurang-kurangnya empat kejadian lain yang melibatkan bas telah dilaporkan pada Jun setakat ini.
Pada 11 Jun, dua penumpang bas cedera ringan dalam satu kemalangan yang melibatkan sebuah bas dan dua kereta di simpang Nicoll Highway dan Bras Basah Road.
Dua orang dikejarkan ke hospital pada pagi 8 Jun selepas satu kemalangan melibatkan sebuah bas Tower Transit dan sebuah lori di Tampines Expressway.
Pada hari sama, seorang pemandu bas dibawa ke hospital selepas dua bas luar perkhidmatan yang dikendalikan Tower Transit bertembung di Sembawang.
Pada 6 Jun lalu, empat penumpang bas termasuk seorang berusia 93 tahun dan seorang pejalan kaki dibawa ke hospital selepas kemalangan membabitkan bas Tower Transit dan trak treler berhampiran Sim Lim Tower di Jalan Besar.
Kadar kematian dan kecederaan parah di tempat kerja di Singapura merosot ke paras terendah pada 2023, dengan 36 kematian dan 590 kecederaan utama.
Langkah-langkah lebih ketat telah dilaksanakan walaupun kadar kejadian adalah rendah.
“Kami tidak mahu keadaan di mana kami leka,” kata Menteri Negara Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad pada Mei, sambil menyatakan bahawa pada 2022, Singapura masih bergelut dengan kadar kematian dan kecederaan utama yang tinggi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg