Seorang pejalan kaki 53 tahun dibawa ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan kereta di Whampoa pada 24 Januari.
Polis berkata ia diberitahu tentang kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan pejalan kaki di 90 Whampoa Drive pada 6.20 pagi.
Lelaki yang cedera itu dibawa ke Hospital Tan Tock Seng oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam keadaan sedar.
Pemandu itu, seorang wanita berusia 69 tahun, sedang membantu siasatan.
Gambar yang dikongsi oleh pembaca The Straits Times menunjukkan sebuah kereta putih merempuh pagar jalan lalu berhenti di atas rumput berhampiran gelanggang bola keranjang.
Kemalangan itu menyebabkan sebahagian daripada sepanduk tertanggal. Dua pekerja dilihat mencuba membetulkan sepanduk itu.
Kawasan kemalangan itu turut dikepung.
Shin Min Daily News melaporkan bahawa bahagian hadapan kereta itu kelihatan rosak dan banyak tisu berlumuran darah dilihat di tanah bersebelahan kereta itu, menurut saksi.
Menurut laporan itu, seorang wanita dilihat terduduk di tempat kejadian sambil menggosok pergelangan tangan kanannya, didampingi seorang ahli keluarga lelaki yang menenangkannya.
Dalam kemalangan serupa pada Disember 2023, dua orang dibawa ke hospital selepas kemalangan berlaku antara kereta polis tidak bertanda dengan sebuah motosikal di Balestier.
Kereta itu merempuh pagar dan masuk longkang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg