Seorang pemandu lori sampah gagal melihat penunggang basikal di lintasan zebra, lalu melanggarnya.
Dia hanya menyedari kejadian itu apabila berasakan lorinya melanggar sebuah objek.
Penunggang basikal berusia 60 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Pada 18 Ogos, pemandu lori, Rosli Bong Nor, 64 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan memandu dengan tidak berhati-hati atau mempertimbangkan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Rosli dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan semua lesen memandunya digantung selama lapan tahun, lapor The Straits Times (ST).
Menurut dokumen mahkamah, Rosli mula bertugas sekitar 6 pagi pada 11 Februari 2024.
Selepas mengumpulkan sampah di pelbagai lokasi, dia mula memandu menuju ke loji pembakaran sampah di Senoko, berhampiran Sembawang.
Sekitar 9.50 pagi, ketika memandu di Woodlands Avenue 8, Rosli mengambil lorong paling kiri untuk memasuki jalan susur ke Admiralty Road West.
Namun, dia gagal melihat seorang lelaki yang sedang menunggang basikal melintasi lintasan zebra di jalan susur tersebut.
Rosli berkata dia hanya menyedari kejadian tersebut apabila berasakan lorinya melanggar sebuah objek.
Dia segera memberhentikan lori seberat 11 tan itu dan keluar dari kenderaannya.
Rosli kemudian mendapati seorang penunggang basikal berada di bawah lori tersebut.
Dokumen mahkamah menyatakan ketika kejadian, tempat tersebut berlumuran darah dan penunggang basikal itu juga tidak sedar.
Penunggang basikal tersebut disahkan meninggal dunia pada 10.09 pagi selepas dibawa keluar dari bawah lori oleh anggota bomba dan paramedik.
Pemeriksaan bedah siasat mendedahkan bahawa penunggang basikal itu meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Kesan pelanggaran tersebut menyebabkan tayar depan sebelah kanan lori itu rosak sehingga ujian teknikal yang dijalankan selepas kemalangan ke atas sistem stereng lori tidak dapat dijalankan.
Ini bermakna penyiasat teknikal tidak dapat menentukan sama ada terdapat sebarang kegagalan mekanikal pada lori itu, yang mungkin menyebabkan kemalangan tersebut.
Sesiapa yang didapati bersalah kerana memandu dengan tidak berhati-hati atau mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain boleh didenda sehingga $1,500, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg