Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Langkah Masjid Darussalam dampingi jemaah sepanjang Ramadan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Langkah Masjid Darussalam dampingi jemaah sepanjang Ramadan

Mar 10, 2024 | 05:30 AM



Tumpuan utama Masjid Darussalam pada Ramadan 2024 ialah untuk menjadikan masjid lebih mesra dan mengambil pendekatan yang berdasarkan perdampingan terhadap jemaah.

Ini bagi memastikan jemaah berasa yakin dan tidak ragu-ragu dari sudut agama sepanjang bulan mulia itu.

Menurut Pengurus Masjid Darussalam, Ustaz Harunarrashid Zainudin, terdapat golongan jemaah yang kurang pasti tentang sesuatu berkaitan dengan agama tetapi mereka segan untuk bertanya.

Antara usaha Masjid Darussalam di Commonwealth Avenue West itu termasuk menyediakan ruang selamat bagi anggota jemaah mempelajari tentang agama termasuk menganjurkan Qiam Challange, yang membuka ruang masjid kepada sesiapa yang ingin beribadah, tidur, dan bersahur bersama pada hari-hari terakhir Ramadan.


“Ada (anggota) jemaah yang baru berhijrah dan mereka tidak semestinya tahu cara sembahyang atau baca doa jadi dengan anjuran ini, kami mahu memastikan mereka mempunyai persekitaran yang selesa untuk bertanya soalan dan menghilangkan keraguan mereka.

“Masjid Darussalam sangat prihatin tentang mendekati dan mendampingi jemaah kerana kami mahu mereka rasa selamat dan tidak keseorangan ketika berada di masjid,” jelas Ustaz Harunarrashid.

Masjid Darussalam turut menganjurkan Akademi Hijrah, siri kelas GengStart yang menyentuh tentang fardu ain, sembahyang dan mengaji.


Ustaz Harunarrashid merupakan antara tujuh anggota Jawatankuasa Ramadan Masjid Darussalam, terdiri daripada anggota dari pelbagai jabatan masjid seperti kewangan, media dan komunikasi, serta pembelajaran Islam.

Anggota lain termasuk Pegawai Dakwah, Ustaz Hayyan Muhyiddin Kamaruzaman; Pegawai Penyelenggaraan, Encik Azman Ramli; Penyelaras Program, Cik Hamidah Mohamed Saini; Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Cik Maisarah Syahirah Malik; dan Pegawai Pembangunan Sosial, Cik Mira Ratna Suhiat.

Ustaz Harunarrashid turut berkongsi dengan Berita Minggu (BM) penerimaan sumbangan infak sekitar $30,000, iaitu 20 peratus daripada sasaran $150,000 untuk menampung segala kos bagi keperluan operasi sepanjang Ramadan.


Infak secara umumnya bermaksud membelanjakan harta ke jalan Allah swt.


Kos operasi termasuk berbuka puasa untuk sekitar 400 orang setiap hari, pengagihan sekitar 4,000 bungkusan bubur secara percuma kepada masyarakat setiap minggu, serta pengagihan aiskrim pada malam tarawih untuk menarik keluarga datang ke masjid bersama anak mereka.

“Ini juga termasuk perkhidmatan pengangkutan bas ulang-alik ke masjid secara percuma bagi penduduk di Avenue 4 dan 5 secara khusus di Blok 308 dan 377.

“Oleh kerana kebanyakan jemaah kami adalah warga emas, kami harus mengatur perkhidmatan bas ulang-alik ini bagi memudahkan perjalanan mereka,” jelas Ustaz Harunarrashid kepada BM.







Masjid Darussalam mengalu-alukan orang ramai supaya menderma kepada masjid itu.

Antara cara untuk menderma adalah menerusi kaedah PayNow.

Bagi mereka yang kurang mahir dalam teknologi atau yang datang ke masjid selepas waktu pejabat, mereka boleh mengisi sampul surat dengan maklumat peribadi dan kemudian masukkan ke dalam tabung derma.

Pihak masjid turut menambah baik teks di dalam khutbah kedua pada Jumaat untuk mendorong jemaah menderma.

Khidmat pengambilan derma dari rumah bagi sumbangan $500 ke atas turut disediakan.

Pengerusi Masjid Darussalam, Ustaz Rashid Ramli, berkata masjid itu bakal dinaik taraf pada masa terdekat demi keselesaan jemaah.

Masjid Darussalam dibina antara 1979 dengan 1988 dan kini mampu menampung sekitar 3,000 jemaah.

Ustaz Rashid berkata: “Insya-Allah sekiranya semua berjalan lancar, tender untuk projek naik taraf masjid akan dibuka pada suku ketiga atau keempat 2024.

“Walaupun kami mahu mengumpul derma untuk peningkatan masjid, kami harus memastikan sumbangan derma untuk infak juga cukup. Kalau kami menumpukan perhatian kepada salah satu sahaja, yang lagi satu akan terabai.”

Di samping mengumpul derma dan infak bagi peningkatan masjid, Masjid Darussalam turut menghasilkan skit pendek di media sosial yang menyentuh tentang fardu ain, serta pelbagai program dan ceramah yang sering mereka anjurkan.

Ini dilakukan bukan sahaja untuk menyuntik kesegaran dalam pendekatan masjid terhadap jemaah, malah untuk menarik golongan muda agar datang ke masjid juga.

Memandangkan orang ramai mempunyai jangka tumpuan yang pendek, Cik Maisarah berkongsi bahawa Masjid Darussalam memastikan video dalam talian yang disiarkan itu adalah ringkas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >