Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Kalendar Tajaan Ramadan bagi dorong jemaah hulur sumbangan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kalendar Tajaan Ramadan bagi dorong jemaah hulur sumbangan

Mar 10, 2024 | 05:31 AM



Di Masjid Alkaff Kampung Melayu, satu kalendar gergasi pada kain rentang berukuran 1.7 kali 2 meter menarik perhatian jemaah yang memasuki pekarangan masjid di Bedok Reservoir itu.

Kain rentang tersebut, yang digantung di dinding dekat pejabat masjid, menunjukkan jumlah derma yang telah dan masih perlu dikumpulkan bagi menampung kegiatan masjid sepanjang Ramadan.

Apabila Berita Minggu (BM) mengunjungi masjid itu seminggu sebelum Ramadan, empat tarikh pertama dalam kalendar itu telah ‘ditutup’, menandakan bahawa kos operasi bagi hari-hari itu telah ditaja sepenuhnya oleh penderma.


Tarikh lain dalam kalendar itu masih ‘dibuka’ dan orang ramai boleh memilih untuk menghulurkan sumbangan mereka pada tarikh tertentu.

Tetapi jika penderma mahu membuat sumbangan bagi tarikh ganjil dalam 10 hari terakhir Ramadan, mereka disyorkan supaya berbuat demikian dengan segera kerana tajaan bagi hari-hari itu lebih cepat direbut berbanding tarikh lain.

“Tujuan meletakkan kain rentang Tajaan Ramadan ini adalah untuk menjejak jumlah yang telah dikumpul sejauh ini. Biasanya kami melihat tarikh ganjil sering menjadi pilihan penderma yang mahu membuat tajaan Ramadan.

“Mereka berharap sumbangan mereka itu jatuh pada malam lailatulqadar dan mereka dapat meraih pahala bersedekah yang berlipat kali ganda,” kata Pengerusi Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Mohamed Faizul Othman, yang menyebut 27 Ramadan sebagai tarikh popular dalam kalangan penderma yang memburu lailatulqadar.

Menurutnya, setiap hari, masjid itu memerlukan $8,000 untuk membiayai operasi dan kegiatan Ramadan termasuk elaun imam dan muazin, penyediaan bubur dan juadah berbuka puasa serta sewa khemah dan kipas.

Dalam kalendar kain rentang Tajaan Ramadan Masjid Alkaff Kampung Melayu itu, setiap tarikh mengandungi 16 kotak kecil dengan setiap satu tertera $500.

Apabila sumbangan yang dikumpul mencapai $500, sekeping kertas dengan logo masjid ditampal pada satu kotak kecil.

Setelah kesemua 16 kotak kecil ditampal kertas, sumbangan bagi tarikh tersebut sudah penuh dan ditutup.

Bagi penderma yang ingin nama mereka disiarkan, masjid akan menayangkannya di paparan panel elektronik berdekatan kain rentang itu, tambahnya.







Itu adalah antara pembaharuan yang dibuat pada kalendar, Tajaan Ramadan, masjid tersebut pada 2024.

Bagi Ramadan 2023, apabila penderma menyumbang lebih $100, kakitangan masjid akan mencetak nama penderma, laminat kertas itu dan menampalnya pada tarikh pilihan, dan pada kotak yang menunjukkan jumlah yang diderma iaitu $100, $200 atau $300.

“Kami membuat perubahan kali ini supaya dapat menjadi lebih mampan dan tidak lagi perlu mencetak dan laminat nama penderma. Kami telah memasang televisyen (paparan panel elektronik) khusus bagi Ramadan ini untuk menayangkan nama penderma.

“Penderma boleh memilih untuk nama mereka diletakkan pada mana-mana tarikh pilihan mereka selagi masih ada tempat kosong.

“Kali ini juga, sebarang jumlah sumbangan diterima dan kami kumpulkan dengan sumbangan daripada penderma lain,” kata Encik Mohamed Faizul, yang menambah jumlah derma tertinggi yang diterima sejauh ini ialah $5,000 daripada seorang penderma.

Secara keseluruhan, masjid itu memerlukan $232,000 bagi menampung kegiatan dan operasi seluruh Ramadan 2024 sepanjang 29 hari.

“Kami telah membuka Tajaan Ramadan ini sejak sekitar hujung Januari lalu dan sejauh ini telah mengumpulkan $40,000,” kata Encik Mohamed Faizul kepada BM pada 4 Mac.

Masjid itu menjangkakan 400 hingga 600 orang sehari akan berbuka puasa pada hari biasa, dan 800 sehari pada hujung minggu.

Bilangan paling ramai yang dicatat berbuka di masjid itu ialah pada 2023 apabila ia menerima 1,300 anggota jemaah.

Jemaahnya yang datang berbuka puasa terdiri daripada 30 peratus penduduk tempatan, dan 70 peratus pekerja migran dari asrama berdekatan. – NUR DHUHA ESOOF




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >