Langkah-langkah untuk menangani penggunaan peranti di Singapura akan dikeluarkan dalam beberapa bulan akan datang, disebabkan peranti elektronik dan media sosial menjadi sebahagian besar dalam kehidupan orang ramai.
Demikian menurut catatan Facebook berasingan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada 21 Jun.
Mereka menekankan keperluan melaksanakan langkah lebih tegas dan berkesan dalam membentuk tabiat penggunaan peranti, terutamanya untuk golongan muda, dengan kajian menunjukkan kesan negatif dan kaitan kepada kesihatan mental yang semakin teruk, lapor The Straits Times.
“Kami boleh membuat nasihat lebih jelas dan lebih muktamad; kami perlu menyampaikan nasihat secara konsisten merentas semua tempat penjagaan kesihatan, dengan lebih banyak peringatan; kami perlu mempraktikkannya di prasekolah; dan kami perlu mencari jalan untuk menggalakkan penerapannya di rumah,” kata Encik Ong dan Encik Masagos.
“Kami akan memuktamadkan dan mengumumkan daya usaha ini dalam beberapa bulan akan datang,” tambah mereka lagi.
Komen mereka datang selepas pakar bedah Amerika Syarikat, Dr Vivek Murthy, baru-baru ini meminta label amaran di platform media sosial untuk pengguna muda, dengan alasan bahawa media sosial dikaitkan dengan kemudaratan kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Dalam catatan Facebook mereka, Encik Ong dan Encik Masagos berkata bahawa Dr Murthy berhujah bahawa keadaan kesihatan mental dalam kalangan golongan muda merupakan satu kecemasan dan media sosial, sesuatu yang menagihkan berdasarkan reka bentuknya, berkemungkinan merupakan penyumbang penting.
“Titik permulaan ialah masa skrin untuk kanak-kanak yang sangat muda, sifar hingga enam tahun.
“Ini membentuk tabiat mereka dalam penggunaan media sosial,” kata Encik Ong dan Encik Masagos, sambil menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyelia titik sentuhan utama untuk kanak-kanak berusia sifar sehingga enam tahun melalui penjagaan bersalin, penjagaan kanak-kanak dan prasekolah.
Encik Ong dan Encik Masagos berkata bahawa MOH dan MSF telah membincangkan isu masa skrin ini sejak beberapa bulan lalu dan berkongsi kebimbangan yang dinyatakan oleh Dr Murthy.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, juga berkata menangani cabaran kesihatan mental adalah keutamaan negara.
Pada Mac 2023, MOH mengeluarkan nasihat rasmi mengenai penggunaan skrin untuk kanak-kanak, dengan badan bukti yang muncul di peringkat antarabangsa dan tempatan.
Bagi kanak-kanak di bawah 18 bulan, ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menggalakkan sebarang penggunaan skrin melainkan ia adalah sembang video yang interaktif.
Bagi kanak-kanak berumur antara 18 dengan 36 bulan pula, adalah dinasihatkan untuk mengehadkan masa penggunaan skrin kepada kurang daripada satu jam sehari.
Kanak-kanak yang lebih dewasa dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan skrin semasa waktu makan dan satu jam sebelum tidur.
Nasihat sedemikian telah kerap dan rutin diberikan oleh penjaga kesihatan profesional kepada bakal ibu bapa di hospital dan poliklinik awam Singapura, kata Encik Ong dan Encik Masagos.
“Peranti elektronik dan media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
“Anak muda kita perlu menggunakannya dengan betul, untuk meningkatkan kehidupan mereka, tanpa menjejaskan kesihatan mental mereka secara tidak sengaja,” kata mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg