Lapangan Terbang Changi merupakan lapangan terbang antarabangsa keempat paling sibuk pada 2024 dari segi kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan.
Lapangan terbang itu mencatatkan jumlah kapasiti tempat duduk antarabangsa sebanyak 41.5 juta tempat duduk pada 2024, meningkat 15 peratus berbanding 36.1 juta pada 2023, menurut angka terkini yang dikeluarkan penyedia data perjalanan global, OAG Aviation, pada 15 Januari.
Kedudukan tersebut disusun berdasarkan maklumat mengenai tempat duduk penerbangan antarabangsa yang disediakan, lapor The Straits Times.
Pada 2023, Lapangan Terbang Changi menduduki tempat kelima sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia berdasarkan kapasiti tempat duduk.
Walaupun terdapat pertumbuhan kapasiti tempat duduk antarabangsa, Lapangan Terbang Changi masih kekurangan 2 peratus daripada 42.5 juta tempat duduk yang disediakan pada 2019.
Ia juga menduduki tempat keempat dalam senarai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai menduduki tempat pertama pada 2024 sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia, dengan 60.2 juta tempat duduk.
Ia juga memegang gelaran yang sama pada 2019, 2022 dan 2023.
OAG tidak mengeluarkan kedudukan lapangan terbang paling sibuk di dunia pada 2020 dan 2021.
Lapangan Terbang Heathrow di London berada di kedudukan kedua, dengan 48.4 juta tempat duduk, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Seoul menduduki tempat ketiga, dengan 41.6 juta tempat duduk.
Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong juga berada dalam kedudukan 10 teratas, menduduki tempat kesembilan dengan 34.6 juta tempat duduk yang disediakan.
Ia merupakan satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Asia-Pasifik yang tersenarai.
Ketua Asia di OAG, Encik Mayur Patel, berkata Lapangan Terbang Changi “membuktikan ketangkasan dan sikap berhati-hati” dalam menguruskan kapasiti tempat duduk ketika pasaran Asia-Pasifik terus pulih.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata di Parlimen pada 8 Januari bahawa jumlah trafik penumpang dijangka hampir mencapai paras pra-Covid-19 pada 2024 dan melebihi paras prapandemik pada 2025.
Encik Patel menambah bahawa Singapura merupakan antara yang pertama membuka semula sempadannya dan ini memberi Lapangan Terbang Changi kelebihan berbanding negara jiran yang lain.
Laluan penerbangan Kuala Lumpur-Singapura turut menduduki tempat keempat dalam senarai laluan penerbangan paling sibuk di dunia pada 2024, dengan 5.38 juta tempat duduk disediakan.
Laluan itu disenaraikan selepas laluan Hong Kong-Taipei (6.8 juta tempat duduk), Kaherah-Jeddah (5.5 juta tempat duduk) dan Incheon-Narita (5.41 juta tempat duduk).
Laluan penerbangan tersebut merupakan yang paling sibuk di dunia pada 2023, dengan 4.9 juta tempat duduk disediakan, berada di tempat ketiga pada 2022 dan tempat kedua pada 2019.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg