Syarikat Singapore Aero Engine Services Private Limited (Saesl) akan bina kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin seluas 26,000 meter persegi di Loyang, yang dijangka siap menjelang 2027.
Ia juga akan mengembangkan operasinya di Taman Aeroangkasa Seletar.
Perkembangan itu diumumkan di majlis pecah tanah Saesl di Loyang pada 16 Januari, yang dihadiri tetamu daripada pelbagai industri.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, hadir sebagai tetamu terhormat.
Satu usaha bersama antara Rolls-Royce dengan Syarikat Kejuruteraan SIA, Saesl berdiri sebagai salah satu kemudahan MRO terbesar di dunia bagi enjin Rolls-Royce Trent.
Pada masa ini, lebih 20 peratus daripada enjin Rolls-Royce Trent dunia menggunakan khidmat Saesl, memacu pesawat seperti Airbus A330, A350, A380 dan Boeing 787 Dreamliner.
Semasa berucap, Encik Gan berkata: “Kepimpinan pasaran yang telah diwujudkan oleh Singapura meletakkan kita dalam kedudukan kukuh bagi unjuran pertumbuhan industri aeroangkasa global, apabila lebih banyak pesawat terbang dengan peningkatan permintaan bagi perjalanan udara.”
Sebanyak $242 juta akan dilaburkan untuk pembinaan kemudahan baru, pengembangan di Seletar Facilities dan menaiktarafkan sistem peralatan dan perisian mereka, menjadikannya hub MRO terbesar di dunia.
Apabila siap, ia dijangka menghasilkan peningkatan pengeluaran sebanyak 40 peratus.
Kemudahan seluas 26,000 meter persegi di Loyang itu akan menempatkan kemudahan khusus bagi induksi dan pemeriksaan enjin, menempatkan lebih 100 enjin dalam pelbagai peringkat konfigurasi.
Ia juga akan mempunyai kapasiti memproses lebih 400 enjin setiap tahun.
Ini akan melengkapkan kemudahan MRO di Taman Aeroangkasa Seletar, yang juga akan diperluaskan dengan tambahan enam ruang bagi meningkatkan kapasiti pembongkaran dan pemasangan enjin.
Ia juga akan menempatkan teknologi pembaikan adaptif yang lebih maju.
Ini menandakan pengembangan strategik, menyepadukan prasarana sedia ada dengan lebih baik bagi memastikan kecekapan, automasi dan ketersambungan lebih tinggi.
Semasa berucap, Ketua Pegawai Eksekutif Saesl, Encik Simon Middlebrough, menekankan pentingnya pembangunan kemahiran dengan latihan berterusan dan program pembangunan untuk pekerja mereka.
“Ini bukan sahaja membolehkan pekerja kami cemerlang dalam peranan mereka, malah memastikan Saesl kekal di barisan hadapan dalam industri,” kata beliau.
Pengembangan Saesl dijangka menjana 500 pekerjaan berprofil tinggi baru menjelang 2028.
Ini membuktikan komitmennya untuk memperkasa tenaga kerja masa depan.
Syarikat itu melabur dalam proses meningkatkan kemahiran pekerja sedia ada, disokong oleh perkongsian kukuh dengan agensi pemerintah dan institusi pendidikan, untuk memupuk bakat dan inovasi dalam ekosistem aeroangkasa Singapura.
Sebagai contoh, di bawah program pengajian kerja dengan Politeknik Temasek, Saesl telah melatih kira-kira 350 juruteknik sejak November 2021.
“Inisiatif ini akan menjadi kunci untuk memastikan Saesl mempunyai tenaga kerja yang mahir bagi mengisi 500 jawatan kejuruteraan dan teknikal baru yang akan diwujudkan untuk menyokong pengembangannya,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg