Topik diikuti
Pergi ke BHkuLapangan Terbang Changi jaya guna kurang air, elektrik di tengah lonjakan penumpang
Lapangan Terbang Changi jaya guna kurang air, elektrik di tengah lonjakan penumpang
Lapangan Terbang Changi jaya guna kurang air, elektrik di tengah lonjakan penumpang
Lapangan Terbang Changi berjaya mengurangkan penggunaan tenaga dan air, di samping mencatatkan jumlah trafik penumpang tertingginya bagi tempoh April 2025 hingga Mac 2026.
Dalam surat berita terbitan pengendali lapangan terbang itu, Changi Airport Group (CAG), pada 16 Jun, Lapangan Terbang Changi mengendalikan 70.4 juta penumpang dalam tempoh tersebut.
Namun, CAG berkata lapangan terbang itu mengurangkan penggunaan air sebanyak 24.4 peratus – daripada 3.07 juta meter padu (m3) antara April 2018 dengan Mac 2019, kepada 2.32 juta m3 antara April 2025 dengan Mac 2026.
Jumlah itu bersamaan lebih 300 kolam renang bersaiz Olimpik.
CAG berkata penggunaan elektrik lapangan terbang itu juga berkurang sebanyak 19.3 peratus, daripada 456 gigawatt setiap jam (GWh) antara April 2018 dengan Mac 2019, kepada 368 GWh antara April 2025 dengan Mac 2026.
Penjimatan itu cukup untuk membekalkan tenaga kepada sekitar 19,800 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) empat bilik selama setahun.
Penggunaan air dan tenaga bagi Jewel Changi tidak diambil kira dalam angka yang diterbitkan.
CAG menyifatkan penjimatan air dan tenaga itu didorong oleh projek kejuruteraan berbilang tahun dan inovasi yang dilancarkan di keempat-empat terminal Lapangan Terbang Changi.
Ia termasuk penggunaan semula air pemeluwapan – wap terkumpul hasil daripada penyejukan udara – dari stesen peredaran udara dalam sistem penyaman udara lapangan terbang.
Proses itu menjimatkan lebih 10,000 m3 setiap tahun, cukup untuk mengisi empat kolam renang bersaiz Olimpik.
Air pemeluwapan juga digunakan untuk mengepam tandas di Terminal 4 (T4), sekali gus mengurangkan jumlah air NEWater atau air dikitar semula yang diperlukan daripada 500 m3 kepada 18 m3 setiap bulan.
CAG juga menggantikan lebih daripada 170 pili manual di tandas dengan pili tanpa sentuh.
Langkah itu mengurangkan penggunaan air sebanyak 60 peratus.
Selain itu, sistem saliran permukaan terbuka di tapak semaian tanaman seluas 2.2 hektar (ha) – sekitar tiga padang bola sepak – di lapangan terbang itu mengumpulkan air hujan dan menyalurkannya kepada dua tempat mengumpul air hujan, tambah CAG.
Ia menyatakan kededua tempat pengumpulan itu menampung kapasiti 6,900 m3 untuk kegunaan pengairan.
Di samping itu, pemasangan penyejuk baru yang lebih cekap tenaga untuk sistem penyaman udara di T1 dan T2 mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 25 GWh setiap tahun.
Pada masa yang sama, suhu penyaman udara diselaraskan secara dinamik, berdasarkan jumlah penumpang, haba persekitaran dan keadaan bangunan untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga, sementara memastikan pengunjung rasa selesa dan sejuk, ujar CAG.
Ia menambah, kerja naik taraf utama yang serupa bakal dilaksanakan di T3 dan T4, tanpa memberikan perincian lanjut.
