RIO DE JANEIRO: Lapangan Terbang Changi meraih manfaat terbesar daripada penutupan ruang udara Timur Tengah, berikutan langkah pantas Singapore Airlines (SIA) menambah kapasiti penerbangan di laluan Asia-Eropah.

Mengulas mengenai daya saing hab udara Singapura, Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata), Encik Willie Walsh, menyifatkan lonjakan ini sebagai kelebihan sementara.

Beliau menjangkakan hab penerbangan di Teluk akan kembali pulih sebaik ketegangan di rantau tersebut reda.

Kenyataan itu dibuat semasa sesi meja bulat media pada 9 Jun, hari terakhir mesyuarat agung tahunan Iata di Rio de Janeiro, Brazil.

Bagi mengisi kekosongan akibat pembatalan penerbangan Timur Tengah, lebih 400 penerbangan tambahan dilancarkan antara Singapura dengan destinasi seperti Frankfurt, London, Munich, Paris, Perth, dan Sydney dari Mac hingga Mei, menurut Changi Airport Group.

SIA turut mempertingkat kekerapan ke Manchester, Milan, Munich, dan London Gatwick bagi separuh kedua 2026. Malah, pesawat Airbus A380 berkapasiti 471 tempat duduk kini dikerah ke Frankfurt, melengkapi operasi Boeing 777 sedia ada.

Memuji langkah pantas SIA, Encik Walsh menyifatkan tindakan itu sebagai pengukuh kedudukan Singapura sebagai hab udara sementara.

Beliau turut memuji langkah pemerintah Singapura menangguhkan levi bahan api penerbangan lestari susulan ketegangan di Timur Tengah.

Levi bagi bahan api penerbangan lestari kini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027 bagi penumpang yang berlepas dari Singapura, melibatkan tiket yang dibeli bermula 1 Oktober 2026.

Garis masa ini merupakan anjakan daripada perancangan awal yang sepatutnya bermula pada Oktober 2026.

Secara lebih luas, Encik Walsh menjangkakan Lapangan Terbang Changi meraih manfaat daripada krisis ini, meskipun terdedah kepada risiko pengurangan perkhidmatan oleh syarikat penerbangan kecil.

Sebagai bukti, Cebu Pacific telah mengurangkan kekerapan penerbangan Cebu-Singapura sehingga akhir Oktober, manakala Thai Lion Air turut melakukan langkah serupa bagi laluan Phuket-Singapura.

Walau bagaimanapun, Encik Walsh yakin hab udara Teluk akan kembali pulih sebaik sahaja kestabilan di Timur Tengah dipulihkan.

Iata meramalkan penurunan 11 peratus dalam permintaan penumpang di Timur Tengah sepanjang 2026, namun impak sebenar jauh lebih drastik, dengan penyusutan 60 peratus pada Mac dan 40 peratus pada April berbanding tempoh yang sama pada 2025.