Lapangan Terbang Changi mengendalikan sekitar 70 juta penumpang pada 2025, sekali gus mengatasi paras sebelum Covid-19, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 5 Januari.
Jumlah penumpang itu adalah yang tertinggi sejauh ini, mengatasi rekod 68.3 juta penumpang pada 2019, sebelum pandemik menjejas sektor itu.
Menurut kenyataan Changi Airport Group (CAG) pada Mei 2025, Lapangan Terbang Changi mengendalikan 67.7 juta penumpang pada 2024.
Berucap semasa majlis pelancaran pameran baru mengenai Terminal 5 (T5), Encik Siow berkata pemerintah telah “membuat keputusan yang tepat” untuk meneruskan pembinaan terminal mega tersebut, setelah rancangan itu ditangguhkan buat sementara akibat pandemik.
Beliau menambah bahawa T5 akan melambangkan masa depan industri penerbangan Singapura, dilengkapi teknologi canggih, serta diperkasa automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Encik Siow juga menyatakan bahawa peluang pekerjaan dalam sektor penerbangan akan terus berkembang selepas T5 siap, khususnya dalam bidang sains data, operasi sistem, dan kemampanan.
Menurut beliau, penggunaan robot dan kenderaan autonomi sedang dicuba bagi memudahkan tugas berat seperti pengendalian kargo dan bagasi.
AI juga bakal digunakan untuk memperhalusi perancangan jadual penerbangan dan perkhidmatan penumpang serta memberi tindak alas pantas terhadap gangguan operasi lapangan terbang, seperti perubahan cuaca.
Dijangka siap pada pertengahan 2030-an, T5 akan menjadi contoh kemampanan industri penerbangan melalui penggunaan bahan api mampan dan tenaga elektrik daripada sistem solar di bumbung, kata Encik Siow.
Kemudahan di T5 juga akan memastikan pengalaman lancar bagi penumpang meskipun saiz terminal itu besar, tambah beliau.
T5 turut membawa manfaat kepada sektor pekerjaan, tambah beliau.
“Setiap tahun, lebih 2,000 pelajar lulus daripada kursus berkaitan penerbangan dan aeroangkasa di institut pengajian tinggi (IHL).
“Penting bagi sektor ini terus menarik bakat baru dan bekerjasama rapat dengan IHL bagi memastikan kemahiran tenaga kerja kita kekal relevan dan bersedia untuk masa depan,” katanya.
Encik Siow turut berkongsi kemajuan yang memberangsangkan bagi pembinaan T5 sejauh ini.
Menurutnya, CAG, akan melancarkan tender untuk struktur utama T5, iaitu bahagian terminal yang dibina di permukaan tanah, dalam beberapa minggu akan datang.
Semasa sesi pratonton media pada 2 Januari, Pengarah Urusan CAG bagi Changi East, Encik Ong Chee Chiau, berkata tender pembinaan bangunan utama T5 akan dikeluarkan dalam tempoh setahun.
Pengendali itu kini dalam proses mengeluarkan tender bagi sistem pengendalian bagasi dan sistem pengangkutan penumpang automatik di T5.
Encik Siow berkata masa depan industri penerbangan “cerah”, dengan penerbangan sejagat dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2050, dipacu rantau Asia-Pasifik.
Beliau yakin Lapangan Terbang Changi telah melangkaui potensi yang dijangka.
Berbanding Lapangan Terbang Paya Lebar yang dahulu hanya mampu mengendali lapan juta penumpang setahun, Changi kini mengendalikan sekitar 70 juta penumpang.
T5 bakal meningkatkan kapasiti penumpang tahunan lebih 55 peratus, daripada 90 juta kepada 140 juta.
Encik Siow menambah bahawa pameran, T5 In the Making, yang berlangsung dari 6 Januari hingga Mac 2026 di dewan ketibaan Terminal 3, memaparkan sejarah Lapangan Terbang Changi.
Pameran anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan CAG itu menyingkap kisah perancangan dan pembangunan terminal terbaru itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg