Sebuah ruang kesejahteraan baru yang direka khas bagi membantu penumpang mengatasi keletihan perjalanan telah dibuka di kawasan transit Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi.
Dalam satu kenyataan Changi Airport Group (CAG) pada 17 Februari, ruang seluas 400 meter persegi (sebesar hampir saiz gelanggang bola keranjang) dan dinamakan ‘Fit & Fun Zone’ itu terletak di tingkat tiga kawasan transit T2.
Ia terdiri daripada lima zon dengan pelbagai kegiatan.
Di zon hijau, pengunjung boleh bersantai di enam kerusi pendulum yang berayun sambil menikmati pemandangan Dreamscape, sebuah taman yang menggabungkan siling dengan pancaran digital seperti imej ‘langit’, ikan dan lebih 20,000 tumbuhan.
Di zon jingga, pengunjung juga boleh melepaskan tekanan dengan menumbuk karung tinju yang lembut serta struktur kelopak tiga dimensi yang tersedia di dinding.
Di zon merah jambu, mereka boleh bersenam dengan menggunakan tuil yang disambung kepada alat senaman seberat antara dua kilogram dengan lapan kilogram, sambil menyaksikan bebola cahaya di zon itu berubah warna apabila tuil itu ditarik.
Di zon kuning, pengunjung boleh melompat di lima pod trampolin, setiap satu dengan ketinggian sekitar tiga meter.
Pod itu dilengkapi dengan sistem pengesan yang memainkan muzik menarik apabila pengunjung melangkahkan kaki ke dalamnya.
Di zon biru pula, pengunjung ke lapangan terbang boleh mengemudi jalan berliku ibarat pagar sesat yang diperbuat daripada tali dan dipasang dalam kawasan menghijau persis struktur gua.
Ia diilhamkan oleh alam semula jadi yang direka untuk merangsang rasa ingin tahu dan menggalakkan penerokaan pengunjung, kata CAG.
Pelancaran tarikan terbaru T2 itu sejajar dengan pembukaan semula terminal pada November 2023 selepas kerja kejuruteraan dan peluasan dijalankan selama tiga tahun setengah.
Projek peluasan itu menambah lebih 21,000 meter persegi (sekitar saiz tiga padang bola sepak) pada terminal tersebut.
T2, yang boleh menampung sehingga 28 juta penumpang setiap tahun, kini merupakan terminal terbesar di Lapangan Terbang Changi dari segi kapasiti pengendalian penumpang.
Walaupun ruang kesejahteraan itu baru kepada T2, bahagian lain lapangan terbang tersebut juga telah diubah, dengan ruang yang dinaik taraf diperkenalkan di kawasan transit Terminal 1 mulai Oktober 2024.
Ruang yang dinaik taraf itu menawarkan pilihan gerai makanan dan minuman lebih luas, seperti Crave Nasi Lemak, A Noodle Story dan The Hainan Story, taman permainan yang direka semula untuk keluarga, dan ruang rehat baru di kawasan melepasi imigresen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg