Sehingga 31 Januari 2025, sekitar 47 juta pengembara telah melepasi pusat pemeriksaan darat, udara dan laut Singapura tanpa pasport, sejak pelaksanaan sistem pelepasan tanpa pasport pada Mac 2024.
Ini merupakan usaha Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam memperkukuh keselamatan sempadan sambil memastikan pemeriksaan imigresen yang cekap dan lancar.
Pada 2024, 230.4 juta pengembara telah melepasi pusat pemeriksaan, peningkatan sebanyak 38 juta berbanding angka 2023.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 2023 iaitu sebanyak 192 juta pengembara dan juga melebihi tahap sebelum Covid-19 pada 2019 iaitu sebanyak 217.3 juta.
ICA berkata peningkatan jumlah pengembara tahunan sebahagian besarnya disebabkan penambahan pengembara melalui pusat pemeriksaan darat Singapura, iaitu lebih 75 peratus daripada keseluruhan pengembara ke negara ini.
Angka itu dikongsi kepada media dalam Laporan Statistik Tahunan ICA 2024 pada 14 Februari.
Pada 2024, ICA telah memperkenalkan beberapa usaha baru untuk memperkukuh keselamatan sempadan dan membaiki proses pemeriksaan imigresen.
Antaranya, ICA meluaskan pelepasan automatik sepenuhnya kepada semua pelawat asing dan melaksanakan pelepasan tanpa pasport (termasuk pelepasan menggunakan kod QR dan tanpa token) kepada rakyat Singapura dan juga pelawat antarabangsa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 14 Februari, ICA berkata:
“Singapura berkemungkinan menjadi negara yang pertama di dunia melaksanakan pelepasan automatik untuk semua pengembara.”
Hal tersebut dapat dilihat di Lapangan Terbang Changi selepas ia memulakan pelaksanaan penuh pelepasan tanpa pasport sejak September 2024.
Secara purata, ia mampu mengurangkan masa pelepasan bagi setiap pelawat sebanyak 60 peratus, dari 25 saat kepada 10 saat, menurut ICA.
ICA berkata Konsep Pelepasan Baru (NCC) seperti laluan automatik dan pelepasan tanpa pasport, di semua lapangan terbang serta kawasan masuk sempadan melalui laut, telah membantu untuk menahan pengunjung yang tidak diingini dan mengesan lebih banyak kes penyeludupan barang larangan berbanding 2023.
Selain mengubah operasi pelepasan sempadan, ICA juga berjaya menguruskan peningkatan jumlah perjalanan sebanyak 20 peratus dengan lebih berkesan pada 2024.
Data biometrik wajah dan iris dikumpul melalui NCC dianalisis unit Pusat Sasaran Terpadu (ITC) baru ICA.
Ia menggunakan analisis data untuk mengenal pasti warga asing berisiko tinggi sebelum mereka tiba di sini.
Warga asing itu akan melalui pemeriksaan lebih ketat apabila mereka cuba melepasi imigresen.
Dalam pada itu, pelawat yang tiba dan berlepas dari Singapura melalui darat juga sudah mempunyai pilihan untuk menggunakan kod QR sebagai ganti kepada pasport.
Kereta atau motosikal yang melalui Pemeriksaan Woodlands dan Tuas mampu mengurangkan masa lebih daripada 30 peratus jika menggunakan kod QR tersebut.
ICA menjelaskan sejak dilaksanakan pada Mac 2024, kereta yang mempunyai empat penumpang mampu menjimat masa sekitar 20 saat, manakala kenderaan yang mempunyai 10 penumpang mampu menjimatkan masa sehingga satu minit.
Kod QR juga dilaksanakan bagi penunggang motosikal sejak Ogos 2024 dan penumpang bas sejak Disember 2024.
ICA berkata jumlah pengembara yang melintasi sempadan darat telah mencatatkan rekod melebihi 562,000 dalam satu hari, iaitu pada 20 Disember 2024 di pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
Walaupun jumlah pengembara meningkat, jumlah kargo yang dilepaskan berkurangan sebanyak 5.8 peratus – daripada 8,983,000 pada 2023 kepada 8,461,000 pada 2024.
Jumlah barangan bernilai rendah juga menurun sebanyak 9.4 peratus antara 2023 dengan 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg