Laporan Akhir Semakan Strategi Ekonomi (ESR) penuh diterbitkan pada 24 Jun, dengan butiran lanjut bagi 32 saranan yang telah dikeluarkan seiring ringkasan eksekutif pada 13 Mei.

Ia termasuk cadangan baharu yang khusus seperti mengkaji semula rangka kerja percukaian Singapura bagi membantu syarikat pemula menarik bakat asing, dan meluaskan Skim Bantuan Pencari Kerja (JSS) SkillsFuture untuk merangkumi lebih ramai pekerja melebihi had gaji sedia ada.

Pemerintah akan mengkaji saranan itu dan bekerjasama dengan rakan kongsi industri serta kesatuan sekerja untuk menterjemahkannya kepada tindakan, dedah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam satu kenyataan.

Laporan itu menggariskan strategi negara untuk menjamin pertumbuhan dan mewujudkan pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura dalam “persekitaran sejagat yang berubah secara asas”.

Keseluruhan 32 usulan tersebut merangkumi lapan bidang tumpuan – empat bertujuan menjamin pertumbuhan ekonomi, tiga bagi mewujudkan pekerjaan baik dan satu berkaitan daya tahan.

Sebanyak tujuh daripada saranan itu diumumkan pada Januari lalu semasa kemas kini pertengahan penggal ESR.

Selebihnya dibentangkan pada Mei lalu di Persidangan Ekonomi Masa Depan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF). 

Dalam laporan akhirnya, ESR menegaskan semula tiga ‘imperatif strategik’ yang menjadi panduan kepada lapan bidang tumpuan kajian semula, bagi membimbing fasa pertumbuhan ekonomi Singapura seterusnya. 

Pertama, Singapura perlu memperkukuh nilai tambahnya, dengan memberi tumpuan kepada bidang yang paling banyak menjana nilai dan mempunyai “kelebihan yang sukar ditandingi”.

Kedua, institusi, firma dan pekerjanya mesti menjadi lebih tangkas dan mudah menyesuaikan diri.

Ketiga, negara ini mesti “membina daya tahan seiring dengan kecekapan”.

Ditubuhkan pada Ogos 2025, jawatankuasa ESR telah mengadakan lebih 80 sesi penglibatan dengan lebih 7,700 individu merentasi pelbagai sektor.

Antara lapan bidang tumpuan itu, yang pertama ialah membina kepimpinan sejagat dalam industri utama sambil berani melabur dalam industri baru muncul, walaupun tidak semua pelaburan dijangka berjaya. 

Kedua, negara ini harus meletakkan dirinya sebagai hab dengan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dibangunkan, diuji dan digunakan, berbanding bersaing untuk membina model termaju atau menampung pusat data.

Tumpuan ketiga ialah mengukuhkan peranan negara sebagai hab sejagat yang terhubung dan dipercayai.

Ini termasuk peranannya sebagai hab tenaga. 

“Buat masa terdekat, Singapura harus terus menarik dan mengembangkan operasi perdagangan syarikat minyak dan LNG (gas asli cair) utama di sini,” ujar laporan itu. 

Terdapat skop untuk mengembangkan keupayaan dalam bidang seperti dagangan ‘bunkering’ LNG, operasi tambah nilai kapal ke kapal dan prasarana penyimpanan sokongan, tambahnya.

Tumpuan keempat ialah memupuk ekosistem perusahaan lebih dinamik, yang membantu firma bukan sahaja berkembang, malah menyusun semula atau membuat peralihan apabila diperlukan.