Topic followed successfully
Go to BHkuLaporan berkaitan rasuah naik 4% pada 2021
Laporan berkaitan rasuah naik 4% pada 2021
Laporan berkaitan rasuah naik 4% pada 2021

LAPORAN berkaitan rasuah meningkat empat peratus tahun lalu, daripada 239 pada 2020 kepada 249 pada 2021, kata Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) semalam.
Kira-kira 33 peratus atau 83 daripada laporan yang diterima tahun lepas telah didaftarkan untuk siasatan, kata CPIB semasa mengeluarkan perangkaan tahunannya.
Ini merupakan penurunan sedikit daripada 81 laporan, atau 34 peratus, yang disiasat pada 2020.
Laporan akan didaftarkan untuk penyiasatan jika terdapat cukup bukti untuk siasatan dari CPIB dan ia ditentukan oleh mutu maklumat berkaitan yang diberikan.
"Kedaan rasuah di Singapura kekal terkawal dan usaha anti-rasuah Singapura terus dipandang baik di peringkat antarabangsa," kata CPIB.
Singapura menduduki tempat keempat daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah tahun lalu dan kadar sabitan bagi kes CPIB pada 2021 ialah 98 peratus.
Salah satu sabitan kesalahan itu melibatkan penolong jurutera agensi air negara PUB, Jamaludin Mohamed, 58 tahun.
Beliau dipenjarakan lebih 11 bulan tahun lalu kerana menerima rasuah $45,169 daripada Ganisan Suppiah, pengurus projek Pipe Works, subkontraktor saluran paip air dan gas yang turut dipenjarakan tujuh bulan dan dua minggu.
Jamaludin telah menghubungi Ganisan dengan tawaran untuk memudahkan dan mempercepatkan kerja yang dilakukan oleh syarikat itu dan diupah dengan wang.
"Walaupun CPIB tidak melihat peningkatan dalam jumlah kes rasuah di Singapura semasa pandemik Covid-19, kami memandang serius kes sebegini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas kerana ia boleh membawa akibat yang lebih luas," kata agensi itu.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sebahagian besar kes rasuah yang disiasat datang daripada sektor swasta, dengan 74 didaftarkan tahun lepas, membentuk 89 peratus daripada semua kes yang didaftarkan untuk siasatan oleh CPIB.
Daripada jumlah ini, sembilan melibatkan kakitangan sektor awam - daripada polis dan Kementerian Tenaga Manusia yang menolak rasuah yang ditawarkan oleh individu dari sektor swasta.
Bilangan kes sektor awam yang didaftarkan kekal rendah tahun lepas, dengan sembilan kes, dan ia serupa dengan purata tahunan empat tahun sebelumnya.
