Kecerdasan buatan (AI) kini lebih banyak digunakan dalam kalangan pekerja dan di tempat kerja.
Demikian menurut satu laporan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Tinjauan dalam talian IMDA antara Mei dengan Jun yang melibatkan 320 pekerja mendapati hampir tiga daripada empat pekerja, atau sebanyak 73.8 peratus pekerja, dilaporkan menggunakan alat AI di tempat kerja, dengan ramai menggunakan AI beberapa kali seminggu atau bahkan, setiap hari.
Dalam kalangan pengguna AI yang ditinjau, seramai 58 peratus menggunakan AI dalam tugasan berkaitan pembentukan idea.
Di samping itu, seramai 54 peratus pekerja menggunakan AI bagi tugas menulis dan menyunting, manakala 42 peratus menggunakannya bagi tugas pentadbiran.
Majikan juga secara aktif menyediakan sokongan kepada pekerja mereka menggunakan AI di tempat kerja, kata IMDA dalam laporan Ekonomi Digital Singapura (SGDE) 2025 yang dikeluarkan pada 6 Oktober.
Sebilangan besar pengguna AI, atau sebanyak 85 peratus, melaporkan mendapat manfaat daripada menggunakan AI, termasuk peningkatan dalam kadar produktiviti dan penjimatan masa serta mutu kerja, iaitu melakukan kerja dengan lebih baik.
Selain itu, hampir separuh pengguna AI telah menggunakan alat itu untuk meningkatkan kreativiti mereka, manakala sepertiga melihat manfaat menggunakan AI untuk pembelajaran dan pembangunan keupayaan.
Sekitar tujuh daripada 10 pengguna AI yang ditinjau berkata majikan mereka telah memberikan sokongan.
Ini termasuk dalam bentuk latihan di dalam dan luar tempat kerja, sebanyak 62 peratus; akses kepada alat AI berbayar, sebanyak 42 peratus; serta dasar dan garis panduan penggunaan AI yang berkaitan sebanyak 30 peratus.
“Memperluas mekanisme sokongan ini untuk menjangkau pekerja yang lain adalah penting bagi memupuk tenaga kerja yang sedia AI,” kata IMDA.
Selain daripada peningkatan dalam penggunaan AI dalam kalangan pekerja, SGDE 2025 juga melaporkan peningkatan dalam penggunaan AI dalam kalangan syarikat.
Sebagai contoh, syarikat kecil dan sederhana (SME) yang menggunakan penyelesaian digital didayakan AI di bawah Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) melaporkan purata penjimatan kos sebanyak 52 peratus pada 2024.
Secara khusus, SME yang menggunakan penyelesaian keselamatan siber berkuasa AI di bawah PSG telah mencapai penjimatan kos purata yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 71 peratus.
Namun, bidang syarikat yang berbeza, memanfaatkan AI dengan cara yang tersendiri, untuk memenuhi keperluan khusus masing-masing.
Misalnya, bidang ‘teknologi maklumat (IT)’ menggunakan AI untuk pelbagai kegunaan, daripada penerokaan data dan analitik seperti pengvisualan serta pelaporan data, hinggalah kepada automasi proses seperti automasi aliran kerja dan tugasan.
Bidang ‘khidmat pelanggan’ pula banyak menggunakan chatbot dan pembantu visual berasaskan AI untuk berinteraksi dengan pelanggan, manakala bidang ‘pemasaran dan komunikasi’ menggunakan AI terutama bagi penciptaan kandungan bertulis dan visual.
Dalam pada itu, bidang ‘kewangan dan perakaunan’ serta ‘sumber manusia’ memberi tumpuan besar kepada penerokaan data dan analisis, dengan menggunakan AI untuk ramalan berasaskan data dan pengvisualan data automatik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg