Bimbang ditipu adalah sebab utama sebahagian orang di Singapura kurang menderma dan menyumbang waktu melakukan kerja sukarela pada 2023.
Jumlah median yang didermakan pada 2023 adalah $100, turun daripada $200 pada 2021.
Purata masa yang disumbang bagi kerja sukarela pula adalah sembilan jam pada 2023, berkurangan dari 12 jam pada 2021.
Kebimbangan yang dirasakan orang ramai itu mungkin disebabkan peningkatan dalam kes penipuan.
Mereka semakin celik digital dengan kesedaran yang semakin tinggi hasil kempen maklumat awam yang memberi amaran agar tidak menjadi mangsa penipuan.
Itulah antara dapatan utama Kajian Menyumbang Nasional (NGS) 2023 yang dikeluarkan oleh Pusat Sukarelawan dan Dermawan Nasional (NVPC) baru-baru ini.
NGS 2023 adalah kesinambungan daripada Kajian Menyumbang Individu (IGS) yang dijalankan setiap dua hingga tiga tahun, dengan yang terakhir dijalankan pada 2021.
Dalam NGS 2023, lebih 2,000 orang ditanya tentang tabiat menderma mereka dari September 2023 hingga Januari 2024.
Ini termasuk melakukan kerja sukarela dan menderma wang, serta cara lain membantu orang lain.
Menurut laporan NGS 2023, 32 peratus peserta yang tidak menderma pada 2023 berkata ia disebabkan kebimbangan terhadap penipuan.
Peratusan itu naik daripada 22 peratus dalam kajian pada 2021.
Dalam satu temu bual bersama Berita Harian selepas pelancaran NGS 2023 pada 12 Jun, Timbalan Pengarah Pengetahuan dan Wawasan NVPC, Dr Mark Stanford, berkata badan amal perlu bersikap telus mengenai derma yang mereka terima.
“Orang yang menderma mahu lihat bagaimana sumbangan mereka akan digunakan, dan mereka juga mahu memastikan sumbangan mereka membawa kesan yang boleh diukur.
“Adalah penting juga badan amal menerangkan dengan jelas apabila mereka menjalankan kempen amal, supaya orang yang ingin menderma akan benar-benar faham dan percaya bahawa badan amal itu boleh dipercayai,” ujar Dr Stanford.
Justeru, salah satu saranan yang diketengahkan dalam laporan NGS 2023 adalah agar badan amal menonjolkan status Institusi Bertaraf Awam (IPC) mereka dan petanda kewibawaan lain dalam wadah sumbangan digital nasional seperti giving.sg dan bekerjasama dengan pakar untuk mempertingkatkan kredibiliti kempen amal mereka.
Antara saranan lain dalam laporan tersebut ialah peranan saluran media yang boleh membantu warga Singapura mengetahui tentang isu sosial dan ehwal semasa.
Menurut Pengarah Strategi dan Dasar NVPC, Cik Ng Soek Mun, individu yang mengikuti perkembangan semasa dan memikirkan isu sosial juga menderma dan membantu secara sukarela dengan lebih kerap.
“Selain meningkatkan kesedaran tentang isu sosial dan hal ehwal semasa, pertubuhan media boleh memainkan peranan mereka dengan menonjolkan peluang bagi orang ramai mengambil tindakan terhadap sesuatu isu sebaik sahaja mereka mempelajari tentang isu tersebut.
“Jadi, seperti yang saya katakan, ada hubungan menarik antara menderma atau membantu secara sukarela dengan mempunyai minat dalam hal ehwal semasa,” ujar Cik Ng, yang juga Pengarah Pengetahuan dan Wawasan NVPC.
Namun, NGS 2023 mendapati kadar derma kekal stabil pada 62 peratus, lebih kurang sama seperti pada 2021, sebanyak 60 peratus.
Bagi kadar kesukarelawanan, terdapat peningkatan ketara daripada 22 peratus pada 2021; kepada 30 peratus pada 2023, mencerminkan pemulihan teguh yang mungkin disebabkan penarikan sekatan Covid-19.
Laporan tersebut menambah bahawa peningkatan itu menunjukkan bahawa rakyat Singapura secara aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela.
“Kali terakhir kami menjalankan tinjauan ini, terdapat penurunan besar dalam bilangan individu yang menawarkan diri sebagai sukarelawan.
“Ini mencerminkan trend sejagat pada masa itu, kerana sekatan disebabkan Covid-19 menjejas pergerakan dan kegiatan yang dilakukan di seluruh dunia,” ujar Dr Stanford.
NGS 2023 juga menemui empat “peramal” perilaku menderma atau menyumbang kepada kerja sukarela.
Individu yang terdorong untuk menderma atau membantu secara sukarela didorong sifat altruistik – bersikap lebih mengutamakan kebahagiaan dan kebajikan orang lain daripada diri sendiri.
Atau mereka dapat melihat kesan jelas usaha mereka membuahkan hasil dan lebih berkemungkinan terus menderma atau menjadi sukarelawan dan melakukannya dengan lebih kerap.
Tiga peramal baru dimasukkan buat kali pertama dalam kajian itu, iaitu:
Minat dalam isu sosial: Minat mendalam untuk terus mendapat maklumat tentang hal ehwal semasa didapati membawa kepada amalan untuk memberi.
Pemberian zaman kanak-kanak: Individu yang menawarkan diri atau menderma sebelum umur 13 tahun menurut perangkaan lebih berkemungkinan berbuat demikian sepanjang 12 bulan sebelum kajian itu.
Keagamaan dan kerohanian: Mereka yang secara subjektif menganggap agama lebih penting dalam kehidupan mereka, dan mereka yang menghadiri kegiatan keagamaan secara tetap, lebih berkemungkinan menderma atau melakukan kerja sukarela.
Dr Stanford berkongsi tentang teori motivation crowding, iaitu teori dalam bidang psikologi yang mencadangkan bahawa jika seseorang diberi insentif ekstrinsik – berasal atau bertindak dari luar – seperti ganjaran kewangan, untuk menjalankan sesuatu tugas, ia kadangkala boleh menjejaskan motivasi intrinsik – sebahagian daripada sifat atau ciri seseorang – bagi melaksanakan tugas tersebut.
“Jika saya membayar anda untuk membuat kerja sukarela, anda akan melakukan jumlah kerja yang anda rasa setara dengan jumlah yang anda dibayar.
“Dengan membuat demikian, terdapat risiko bahawa kerja sukarela tersebut seolah-olah menjadi satu transaksi, dan bukannya satu cara untuk membantu orang lain,” ujar Dr Stanford.
Menurut Dr Stanford lagi, terdapat peningkatan dalam penubuhan kumpulan tidak rasmi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut laporan NGS 2023, kumpulan tidak rasmi merujuk kepada inisiatif tidak formal masyarakat yang menjalankan kegiatan sama seperti pertubuhan tidak mencari untung (NPO) tetapi tanpa pendaftaran rasmi.
Dr Stanford juga menjangka lebih ramai golongan muda menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Saya rasa amat mengagumkan bahawa lebih banyak kumpulan tidak rasmi wujud kerana ia benar-benar mencerminkan keinginan masyarakat menyumbang secara aktif,” kata beliau.
Memandang ke hadapan, Cik Ng berharap pendermaan menerusi wadah dalam talian dan menyumbang wang dan masa secara kecil-kecilan akan menjadi lebih menjadi kelaziman dan menjadi penghubung bagi mereka yang tidak pernah menderma atau menjadi sukarelawan tetapi berminat mencuba.
“Sekarang, dengan lebih ramai orang mempunyai lebih fleksibiliti dari segi waktu bekerja, dan dengan ada yang bekerja dari rumah, orang ramai boleh mencuba menyumbang wang dan masa secara kecil-kecilan.
“Bagi mereka yang tidak pernah menyumbang kembali kepada masyarakat, mereka sebenarnya boleh bermula dengan menyumbang wang dan masa secara kecil-kecilan, dan itu mungkin membuatkan mereka lebih berminat dan lebih komited dan menjadi sukarelawan secara tetap pada masa hadapan,” kata Cik Ng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg