Topik diikuti
Pergi ke BHkuLaporan risikan kepada penggubal dasar sentiasa objektif, berasas fakta
Penilaian risikan tidak pernah diubah semata-mata untuk memadankan kepada dasar pemerintah
Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) tidak pernah mengubah penilaian perisikannya semata-mata untuk memadankannya kepada dasar pemerintah.
Ini kerana misinya adalah untuk memberikan penilaian perisikan yang objektif mengenai landskap keselamatan Singapura kepada penggubal dasar, kata mantan pengarahnya, Encik Eddie Teo.
Encik Teo, yang merupakan pengarah SID paling lama berkhidmat, dari 1979 hingga 1994, berkata peranan organisasi itu adalah untuk menyediakan penilaian perisikan yang berasaskan fakta, objektif dan tepat.
“Misi kami adalah untuk memastikan penggubal dasar sentiasa dimaklumkan dengan baik, memberikan penilaian risikan yang objektif dan tepat, dan berdasarkan fakta yang kami ketahui.
“Kami amat menyedari bahawa kami tidak boleh sekali-kali memutarbelitkan atau mengubah penilaian kami agar sesuai dengan dasar,” tambah Encik Teo.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama media sempena ulang tahun ke-60 agensi perisikan itu.
Mula ditubuhkan pada 1966 sebagai Divisyen Perisikan, agensi itu – sebuah agensi di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) – kemudian dinamakan semula sebagai Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) pada 1967.
Tumpuannya adalah untuk melindungi Singapura daripada ancaman luaran dan untuk memajukan kepentingan negara ini dengan memberikan maklumat dan penilaian perisikan yang kritikal kepada pembuat keputusan.
Encik Teo menegaskan bahawa jika SID mengesan maklumat perisikan yang bertentangan dengan pandangan penggubal dasar, agensi itu tetap akan memasukkan maklumat berkenaan dalam laporannya.
Beliau turut menekankan bahawa penilaian perisikan tidak boleh dipolitikkan sama sekali seperti yang telah berlaku di beberapa negara lain.
“SID bukan sebuah jabatan yang merangka dasar. Kami membekalkan penilaian perisikan yang objektif kepada penggubal dasar dan kami tidak akan sesekali membiarkan perisikan dipolitikkan,” tegas Encik Teo.
Beliau menambah bahawa prinsip ini amat penting, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan hubungan dengan negara-negara jiran.
Sekiranya penggubal dasar mempunyai andaian tertentu tetapi maklumat perisikan di lapangan menunjukkan sebaliknya – contohnya negara jiran berhasrat untuk bekerjasama dan berbaik-baik – SID tidak akan menyembunyikan fakta tersebut semata-mata untuk menyesuaikannya dengan pandangan politik.
“Kami tidak memberitahu penggubal dasar bahawa dasar mereka salah, tetapi kami menyampaikan fakta.
“Fakta tersebut mungkin menunjukkan bahawa andaian mereka kurang tepat. Tugas kami adalah untuk bersikap objektif dan tepat,” kata Encik Teo.
Mengimbas kembali sejarah awal penglibatannya, Encik Teo, yang menyertai SID pada 1970, berkongsi bahawa dua isu utama yang dihadapinya ketika itu ialah ancaman Parti Komunis Malaya (CPM) dan kesan rusuhan kaum di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 13 Mei 1969.
Namun, seiring dengan perubahan geopolitik dunia, skop ancaman keselamatan Singapura kini telah berkembang pesat melangkaui ancaman-ancaman tersebut.
Mantan Ketua Staf SID, Encik Kevin Santa Maria, yang berkhidmat selama 23 tahun dari 2002 hingga 2025, menjelaskan bahawa walaupun misi teras SID untuk menjaga keselamatan Singapura tidak berubah, liputan tugasnya semakin bertambah.
“Pada era awal, ia lebih berkisar tentang geopolitik dan ketenteraan, sebelum kita beralih kepada pembanterasan pengganasan yang memakan masa lebih 10 tahun sejak awal 2000-an.
“Kini, ancaman siber, maklumat palsu, perang maklumat, serta ancaman radikalisasi sendiri secara dalam talian menjadi fokus utama, tanpa mengabaikan aspek geopolitik,” kata Encik Santa Maria.
Dalam usaha mendapatkan perisikan dan juga melindungi negara daripada ancaman, Encik Santa Maria berkata SID tidak melakukan perkara itu secara sendirian, malah bekerjasama rapat dengan agensi lain.
Memberikan contoh, dalam usaha menangani ancaman Jemaah Islamiyah (JI), SID memantau elemen luar negara manakala Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) meneliti ancaman dalaman.
Kerjasama erat ini termasuk operasi bertahun-tahun untuk pihak berkuasa mencari dan menahan pengikut JI yang telah lari keluar dari Singapura.
“Beberapa (ancaman) telah dihapuskan. Saya tidak boleh bercakap mengenainya, tapi hakikatnya, beberapa (serangan) dapat dielakkan.
“Kami dapat membawa (pengikut JI) kembali ke Singapura dan meluputkan sekumpulan pengikut yang mungkin ingin menyebabkan bahaya kepada Singapura pada masa hadapan.
“Kami sebenarnya bekerja keras sebagai satu pasukan di Singapura, antara agensi perisikan kami, dan kami berjaya menghapuskan ancaman itu,” kata Encik Santa Maria.
Mantan Pengarah Kanan (Antipengganasan) SID, Encik Ng Kah Meng, menjelaskan bahawa secara tradisinya, misi utama sesebuah organisasi perisikan adalah untuk memberikan amaran awal mengenai potensi konflik dan ancaman peperangan.
Namun, seiring dengan keupayaan dan suara Singapura yang semakin kukuh di peringkat antarabangsa, peranan SID telah berkembang untuk melihat aspek positif iaitu mengenal pasti peluang strategik bagi negara.
“Saya fikir misi perisikan merangkumi perspektif positif untuk mencari peluang dan bukan sekadar bahaya dan risiko,” kata Encik Ng, yang telah berkhidmat dengan SID dari 1981 hingga 2013.
“Kita memang mencari peluang yang dapat membantu pemerintah membuat keputusan, keputusan yang bukan sahaja melindungi keselamatan kita, tetapi juga mengembangkan ruang politik kita, dan juga untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi kita.”
Mengenai ancaman pengganasan selepas peristiwa 11 September 2001, Encik Ng mengimbas bagaimana persepsi terhadap isu berkenaan berubah daripada sekadar “masalah polis” kepada ancaman berdimensi strategik.
Beliau menekankan bahawa menangani pengganasan memerlukan tindakan di peringkat ‘upstream’ atau hiliran iaitu membanteras punca akar sebelum ia berkembang menjadi ancaman fizikal yang nyata.
Mengenai dinamik ancaman semasa, Encik Ng menarik perhatian bahawa walaupun kumpulan pengganas besar seperti Al-Qaeda, Isis dan JI telah dilemahkan, bahaya radikalisasi sendiri menerusi Internet kini menjadi cabaran utama.
Kewujudan zon konflik di wilayah seperti Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan, tambahnya, sentiasa berpotensi menjadi daya tarikan kepada individu dari Asia Tenggara mendapatkan latihan dan kembali membawa ancaman.
“Kewaspadaan kita terhadap ancaman ini tidak akan pernah hilang sepenuhnya, walaupun keutamaan sumber dan perhatian mungkin berubah dari semasa ke semasa sebagai tindak balas kepada keadaan yang berubah,” kata Encik Ng.
“Tetapi selagi dunia mempunyai zon konflik, zon konflik ini menjadi magnet untuk menarik orang yang ingin pergi dan dilatih (untuk melakukan pengganasan).
“Kemudian mereka menjadi berani kerana mereka kini diberi kuasa dengan keupayaan untuk melakukan sesuatu (ancaman) apabila mereka kembali ke rantau ini,” tambahnya.
Semasa bercakap dengan media, Encik Teo, yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 56 tahun, turut berkongsi pengalaman berharga bekerja secara langsung di bawah pimpinan mendiang Encik Lee Kuan Yew dan mendiang Dr Goh Keng Swee.
Beliau, yang kali terakhir berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Presiden dari Januari 2019 hingga Jun 2026 sebelum beliau bersara, berkata Encik Lee Kuan Yew mempunyai pandangan strategik yang luar biasa serta kebolehan meneliti butiran secara mendalam.
“Setiap kali menghantar laporan, kami perlu memastikan kami mempunyai jawapan yang tepat kerana Encik Lee dan Dr Goh banyak membaca dan sangat memahami isu semasa.
“Bekerja di bawah tokoh-tokoh legenda ini sangat menginspirasikan,” kata Encik Teo, yang dianugerahkan Darjah Utama Temasek (Dengan Pujian) sempena Anugerah Hari Kebangsaan 2026.
Garis Masa Peristiwa Penting:
1966:
Divisyen Perisikan ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Pertahanan ketika itu.
1967:
Ia dinamakan semula pada 1967 kepada Divisyen Keselamatan dan Perisikan (SID) di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef).
1975:
Pengarah SID ketika itu, Encik S. R. Nathan, memainkan peranan penting dalam kejayaan pemerintah Singapura untuk meredakan insiden serangan ke atas bot feri Laju dan pembebasan tebusan.
1990-an:
SID menyokong pemerintah dengan penilaian utama mengenai perkembangan serantau semasa Krisis Kewangan Asia yang tercetus pada 1997.
2000-an:
Penilaian dan sokongan perisikan SID memainkan peranan utama, bersama-sama dengan agensi keselamatan Singapura yang lain, dalam penangkapan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).
2016:
SID menyediakan perisikan yang menyokong usaha untuk mengganggu rancangan kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan roket ke atas Marina Bay Sands.
Sejak itu:
SID meluaskan sokongannya untuk membantu pemimpin Singapura menangani isu-isu baru muncul seperti daya tahan rantaian bekalan semasa krisis Covid-19 dan keselamatan tenaga semasa konflik yang berterusan di Timur Tengah.
