Orang Melayu kini diwakili dalam semua unit Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dengan bilangan Melayu yang berkhidmat untuk negara telah meningkat sejak bertahun lamanya, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Ini termasuk dalam tentera darat, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan, tambah beliau.
Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) bagi podcast NoTapis BHerbual pada 29 April, beliau berkata:
“Hari ini jika kita melihat pencapaian anak-anak Melayu, kita melihat mereka semua berada dalam semua unit – tentera darat, RSAF, RSN dan juga dalam unit Perkhidmatan Digital dan Perisikan yang ditubuhkan baru-baru ini.
“Kita melihat para pegawai (Melayu) hari ini berkebolehan dan setaraf dengan pegawai kanan dalam SAF,” kata beliau.
Beliau memberi contoh beberapa pegawai Melayu yang cemerlang dalam SAF.
Antaranya ialah Kolonel Fairoz Hassan, yang merupakan Komander Divisyen Singapura Kesembilan dan Ketua Infantri.
Terdapat juga Komander Pusat Latihan Asas Tentera (BMTC), Kolonel Muhammad Helmi Khaswan, yang merupakan penerima Biasiswa Merit SAF. Beliau mendalami kejuruteraan kimia dan biomolekul di Universiti Illinois Urbana-Champaign di Amerika Syarikat dan meraih ijazah sarjana dalam kejuruteraan kimia lanjutan dari Universiti Cambridge di Britain pada 2007.
Sementara itu, Mejar Muhammad Iskandar Dzulfadhli Abdul Rahman merupakan juruterbang jet pejuang F-15SG. Juga seorang penerima Biasiswa SAF, beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang Dasar Awam dari Universiti Oxford.
Encik Zaqy berkata kejayaan anak-anak Melayu itu dalam SAF adalah berdasarkan meritokrasi, dan bukannya sebagai tanda lambang atau tokenism semata-mata.
“Kita lihat anak-anak Melayu kita bukan sahaja dapat melakukan tugasan sensitif, tetapi hari ini mereka juga mempunyai prestasi yang setanding dengan bangsa lain. Oleh itu, tiada siapa yang akan mempersoalkan adakah Mejar Muhammad Iskandar itu berada di situ kerana beliau satu token bagi masyarakat Melayu.
“Jika anda katakan demikian, anda tidak memberi kredit kepada beliau,” kata beliau.
Wanita Melayu turut mencipta sejarah dalam SAF.
Ini termasuk Leftenan Iffa Daniesha Mohamad Raihan Hafidz, wanita Melayu pertama dilantik sebagai pegawai tentera laut Singapura, dan Leftenan Muda (2LT) Zakiah Huda Sapari, pegawai wanita pertama dalam sejarah Sekolah Kadet Pegawai (OCS) SAF yang memimpin Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet.
Encik Zaqy berkata dengan anak-anak Melayu hari ini lebih berpendidikan dan berkebolehan, masyarakat dapat melihat lebih ramai yang layak bagi pelbagai tugasan, jawatan dan kerjaya.
Ditanya apakah beliau boleh berkongsi bilangan Melayu yang ada dalam SAF secara keseluruhan, Encik Zaqy berkata beliau tidak dapat mendedahkannya kerana ia adalah “isu sensitif” dan merupakan “rahsia negara”.
Namun, beliau memberi jaminan bahawa terdapat lebih ramai pegawai Melayu dalam SAF daripada sekadar individu yang telah tampil dalam akhbar.
“Kita harus melihat bagaimana mereka dapat memegang jawatan tersebut. Mereka semua mempunyai kebolehan, mereka mempunyai prestasi yang setanding dengan bangsa lain dan ini satu sistem meritokrasi di mana kita hari ini mempunyai SAF yang lebih terbuka,” kata beliau.
Dalam jawapan kepada soalan Parlimen pada 2014 mengenai komposisi SAF, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Dr Ng Eng Hen, berkata komposisi etnik anggota perkhidmatan negara dalam SAF sama seperti profil etnik penduduk, dengan kumpulan etnik utama diwakili dalam setiap perkhidmatan.
Bagaimanapun, disebabkan pertimbangan keselamatan operasi, Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak mengeluarkan data terperinci dalam setiap tugasan, tambah Dr Ng dalam jawapan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg