Terdapat risiko rendah jerebu rentas sempadan menyelubungi Singapura dan rantau ini pada 2024.
Ini memandangkan fenomena iklim semula jadi bernama La Nina, yang menyebabkan cuaca lebih lembap dan sejuk di Asia Tenggara mungkin kembali, manakala risiko kebakaran daripada kegiatan peluasan ladang di Indonesia adalah agak rendah.
Demikian ramalan Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) dalam laporan ramalan jerebu 2024, yang dikeluarkan pada 8 Julai, lapor The Straits Times.
Ini adalah kali kedua SIIA mengeluarkan penilaian hijau atau risiko rendah sepanjang enam tahun.
Ia pertama kali memberi penilaian hijau pada 2021 di tengah-tengah cuaca La Nina yang berpanjangan.
Orang ramai dijangka menikmati sedikit kelegaan daripada mutu udara tidak sihat memandangkan cuaca basah, atau La Nina yang membawa hujan dijangka kembali pada separuh kedua 2024.
Pemanasan El Nino adalah penyumbang utama kepada keadaan jerebu yang kurang teruk pada 2023 di Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Fenomena tersebut berkurangan pada pertengahan 2024.
“Kadar hujan purata dijangka bagi Ogos, September dan Oktober, yang berisiko mengalami kebakaran utama, atau mungkin lebih lembap daripada biasa bagi tempoh tersebut jika fenomena La Nina berlaku,” kata laporan itu.
Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA) Amerika Syarikat, terdapat 65 peratus peluang La Nina muncul antara Julai dengan September, dan 85 peratus peluang mulai November.
Selain aspek cuaca, SIIA menganalisis trend pasaran dan dasar pencegahan kebakaran sebelum menyiapkan laporan tersebut.
Jerebu berasal daripada pembakaran tanah gambut dan tumbuh-tumbuhan lain di Indonesia.
Pembakaran tersebut diamalkan untuk membersihkan tanah bagi kegunaan pertanian atau untuk menghilangkan sisa pertanian.
Penulis laporan tersebut telah mengkaji pelbagai faktor ekonomi untuk melihat sama ada kawasan perladangan mungkin meningkat, dan menilai bahawa risiko jerebu daripada peluasan ladang adalah agak rendah dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, pokok kelapa sawit yang ditanam dari 1990-an hingga awal 2000-an kini perlu ditanam semula.
Namun, tidak jelas sama ada penanaman semula pokok kelapa sawit akan menyumbang kepada risiko jerebu, menurut laporan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg