Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: S’pura mungkin tidak dapat tarik pelaburan pusat data berskala besar

Jun 4, 2024 | 5:40 PM
Pusat data Equinix di Singapura. Satu laporan BMI menyatakan bahawa kapasiti yang diperuntukkan di Singapura tidak cukup untuk memenuhi keperluan beban trafik data bagi pusat data di Asia Tenggara.
Pusat data Equinix di Singapura. Satu laporan BMI menyatakan bahawa kapasiti yang diperuntukkan di Singapura tidak cukup untuk memenuhi keperluan beban trafik data bagi pusat data di Asia Tenggara. - Foto EQUINIX

Singapura mungkin tidak dapat menarik pelaburan pusat data berskala besar daripada pelabur asing, walaupun dengan rancangannya baru-baru ini untuk meningkatkan kapasiti pusat data, menurut satu laporan pasaran oleh BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, pada 3 Jun.

Ini kerana kapasiti yang diperuntukkan di Singapura tidak cukup untuk memenuhi keperluan beban trafik data bagi pusat data di Asia Tenggara.

Perniagaan pusat data kini semakin berkembang pesat di pasaran lain di luar Singapura, terutama di Malaysia.

Baru-baru ini, Singapura mengumumkan bahawa ia menyasar menyediakan kapasiti tambahan 300 megawatt (MW) bagi pusat data dalam tempoh terdekat dan lagi 200MW mungkin ditambah untuk pengendali yang memanfaatkan tenaga hijau.

Ini disertakan dalam peta hala tuju baru yang dilancarkan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), yang melakar cara Singapura membangun pusat data yang mampan.

Jurucakap IMDA berkata kapasiti tambahan 300MW itu adalah asas untuk memupuk inovasi dan menggalak pemain dalam industri hijau bekerjasama mengenai cara meningkatkan kecekapan tenaga dan mengguna tenaga hijau bagi kapasiti lebih tinggi.

“Peta hala tuju ini melakar laluan bagi sektor pusat data berinovasi dan merintis huraian, bukan sahaja untuk menyokong komitmen iklim antarabangsa Singapura, malah membantu menangani cabaran sejagat yang dihadapi pelbagai negara untuk pertumbuhan pusat data.

“Singapura kekal menarik sedang pusat data memanfaatkan kedudukan antarabangsanya yang lebih luas sebagai hab perniagaan dan digital,” kata jurucakap itu dalam jawapannya kepada The Business Times (BT).

Satu moratorium atau penggantungan khidmat pusat data di Singapura dari 2019 hingga 2022 mendorong banyak pusat data di sini berpindah ke bandar Asia Tenggara lain, khususnya, Johor di Malaysia dan Batam di Indonesia.

Kedudukan Johor dan Batam, yang dekat dengan Singapura, peraturannya, dan kos elektrik serta tenaga pekerja lebih rendah, menyebabkan jumlah pelaburan pusat data melonjak di kededua bandar itu.

Laporan pasaran BMI itu menganggarkan kapasiti pusat data melebihi 1,800MW di Johor dan mencapai 285MW di Batam.

Sebelum ini, Singapura telah memberi permit bagi khidmat penyediaan pusat data kepada Equinix, Microsoft, GDS dan satu konsortium antara AirTrunk dengan Byte Dance.

Menurut laporan tersebut, dengan mengambil kira kesemua permit itu, kapasiti pusat data di sini ditambah sekitar 80MW, menjadikan jumlah kapasiti bagi pembangunan masa depan kepada 380MW .

Dengan peruntukan tambahan itu, penyelidik yang menyiapkan laporan tersebut telah mengemas kini kapasiti pusat data Singapura kepada 1,400MW, naik daripada 876MW.

Bagaimanapun, para penyelidik tersebut berpandangan bahawa kapasiti pusat data yang dipertingkat itu masih terlalu kecil untuk memenuhi keperluan beban teknologi maklumat (IT) bagi pusat data Asia Tenggara ketika ini.

“Kami yakin daya usaha ini mungkin tidak akan merangsang semula minat pelabur asing berskala besar dalam pasaran pusat data Singapura, memandangkan pasaran di negara jiran yang sedang berkembang menjangka kapasiti pusat data lebih 2,500MW dalam tempoh terdekat,” kata laporan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg