Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai kegiatan di Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan pada 10 Ogos

Jul 12, 2024 | 5:41 PM
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Kejiranan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), Kolonel Edwin Chua (kanan) dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Kejiranan NDP yang juga Pengarah Kumpulan Persatuan Rakyat (PA), Encik Pow Choon Ghee, dalam sesi taklimat pada 12 Julai berkongsi kegiatan sempena sambutan kejiranan.
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Kejiranan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), Kolonel Edwin Chua (kanan) dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Kejiranan NDP yang juga Pengarah Kumpulan Persatuan Rakyat (PA), Encik Pow Choon Ghee, dalam sesi taklimat pada 12 Julai berkongsi kegiatan sempena sambutan kejiranan. - Foto MINDEF

Berkayuh basikal untuk menjana tenaga lampu sebagai langkah mengurangkan jejak karbon.

Demikian antara kegiatan yang boleh disertai penduduk daripada segenap lapisan masyarakat dalam Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan pada 10 Ogos.

Ia merupakan salah satu daripada pelbagai kegiatan yang dibentangkan dalam satu taklimat pada 12 Julai di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) di Kitchener Road.

Berkongsi kepada pihak media, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Kejiranan NDP, Kolonel Edwin Chua, berkata sambutan kali ini dianjurkan PA dengan kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.

“Kami sedia maklum bahawa kami tidak dapat menampung semua di Marina Bay (bagi sambutan NDP).

“Kami ingin berikan seberapa ramai warga Singapura peluang untuk meraikan NDP bersama maka itulah sebabnya kami bekerjasama dengan PA untuk mengadakan Sambutan Kejiranan ini,” ujarnya.

Kolonel Edwin menjelaskan sambutan itu diadakan pada Sabtu, 10 Ogos, setelah mengambil kira hujung minggu panjang kerana NDP jatuh pada Jumaat, 9 Ogos.

Oleh demikian, orang ramai dapat meneruskan sambutan Hari Kebangsaan melewati 9 Ogos sambil memberi ruang kepada sukarelawan yang terlibat dalam sambutan kejiranan untuk rehat pada Ahad, 11 Ogos.

Ini memandangkan sambutan kejiranan kali ini bakal melibatkan lebih 2,600 sukarelawan, katanya.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sambutan Kejiranan NDP 2024 yang juga Pengarah Kumpulan PA, Encik Pow Choon Ghee, berkongsi bahawa sambutan kejiranan kali ini akan diadakan di lima lokasi serata Singapura.

Beliau berkata setiap daripada lokasi ini mempunyai tema tersendiri kerana ini menyerlahkan aspek terbaik yang mewakili sesebuah kelompok.

Namun apa yang menghubungkan kelima-lima kelompok itu adalah ia sejajar dengan tema NDP 2024, iaitu ‘Bersama, Sebagai Rakyat Yang Bersatu Padu’.

“Kami cuba untuk menghubungkan semua rakyat untuk bersatu sebagai sebuah masyarakat. Apabila kami mencipta program atau kegiatan, kami mengambil kira semua peringkat umur dan keupayaan,” tambahnya.

Susulan taklimat itu dalam satu kenyataan media secara bersama oleh PA dan Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024, ia menyatakan sambutan kejiranan bakal diadakan di lima kelompok iaitu:

  1. Padang terbuka bertentangan Stesen MRT Laluan Circle Bishan dengan tema, ‘Perpaduan dalam Perbezaan’, bagi kelompok Central;
  2. Padang terbuka bersebelahan Waterway Point di Punggol dengan tema, ‘Satu NEGARA’ (One Home), bagi kelompok North East;
  3. Padang terbuka bersebelahan FutsalArena@Yishun dengan tema, ‘Bergerak ke Hadapan, Hargai Sejarah Kita’, bagi kelompok North West;
  4. Padang terbuka bersebelahan Paya Lebar Quarter 1 dengan tema, ‘Hidupkan Cahaya, Janakan Kuasa’, bagi kelompok South East;
  5. Padang terbuka bersebelahan Stesen MRT Buona Vista dengan tema, ‘Bersatu Hati’, bagi kelompok South West

Kenyataan itu menambah bahawa orang awam boleh mengambil tiket Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan bagi kelompok mereka di balai rakyat berdekatan, yang dahulu didahulukan, mulai 12 Julai.

Setiap orang awam dapat mengambil sehingga dua tiket, yang membenarkan pemegang tiket untuk menerima pek NDP percuma, jelas kenyataan itu lagi.

Kemasukan ke kelima-lima lokasi itu adalah percuma dan dibuka kepada awam, meskipun tanpa tiket, kata Encik Ghee.

Selain daripada kegiatan khas yang diadakan di kelompok masing-masing, pengunjung berpeluang melihat kenderaan dan pameran aset daripada Angkatan Tentera Singapura (SAF), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) di kesemua lokasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg