Latihan perguruan bagi golongan siswazah akan dipendekkan daripada 16 bulan ke setahun sebagai sebahagian daripada usaha memberikan sokongan lebih baik kepada pendidik dan menarik lebih ramai bakat.
Tempoh latihan yang dikurang empat bulan itu adalah hasil semakan berterusan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE).
Ia khusus bagi program Diploma Possiswazah dalam Pendidikan selama 16 bulan, bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar yang semakin pelbagai.
Semakan program latihan perguruan itu bertujuan memperkukuh sokongan profesional kepada pendidik serta memberi mereka ruang lebih fleksibel untuk menyesuaikan pembelajaran mereka, kata Menteri Pendidikan yang baru dilantik, Encik Desmond Lee, pada 3 Jun.
Program Diploma Possiwazah dalam Pendidikan yang dibiayai MOE adalah program sepenuh masa bagi membekalkan pemegang ijazah dengan kemahiran mengajar di sekolah-sekolah Singapura.
Menurut Encik Lee, pada masa akan datang, program itu akan memberi lebih tumpuan kepada gabungan teori dan aplikasi praktikal.
Guru baru juga boleh menjangkakan lebih banyak peluang untuk mempertingkatkan kemahiran mengajar di bilik darjah selepas tamat pengajian, lapor The Straits Times (ST).
Encik Lee berkata guru baru akan mempunyai lebih banyak fleksibiliti dan autonomi untuk membentuk pembelajaran mereka, sama ada ketika latihan atau apabila mereka mula mengajar.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada sekitar 2,000 pendidik di Persidangan Guru dan ExCEL Fest 2025 yang diadakan di Singapore Expo.
Acara itu dianjurkan oleh MOE setiap dua tahun bagi mengumpulkan para pendidik untuk saling berkongsi pandangan dan amalan pembelajaran bersama.
Edisi 2025 berlangsung dari 3 hingga 5 Jun.
“Kami membayangkan pendekatan yang lebih fleksibel apabila semua guru akan mengikuti komponen pembelajaran teras yang penting untuk mengajar, sambil mereka boleh memilih komponen pembelajaran elektif (pilihan) mengikut keperluan dan minat masing-masing,” jelas Encik Lee.
“Dengan cara ini, guru baru akan ada persediaan lebih baik untuk peranan mereka dan kita dapat memenuhi latar belakang serta keperluan pembelajaran mereka yang pelbagai, dengan lebih berkesan.”
Maklumat lanjut akan diumumkan setelah semakan selesai, ujar beliau.
Para pelajar yang sedang mengikuti program Diploma Possiswazah dalam Pendidikan tidak akan terjejas dengan semakan itu, kata MOE.
Jurucakap kementerian berkata sekitar 390 pelajar menyertai program tersebut setiap tahun dari 2022 hingga 2024.
Setiap kumpulan terdiri daripada siswazah baru dan individu yang beralih kerjaya.
Menyifatkan guru sebagai penggerak kepada setiap generasi, Encik Lee, berkata:
“Walaupun teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dapat mempertingkat pengajaran dan pembelajaran, ia tidak pernah dapat menggantikan apa yang anda bawa ke dalam bilik darjah – pengetahuan, pengalaman dan keprihatinan terhadap para pelajar.”
Beliau berkata MOE akan menyokong guru dalam tiga bidang utama iaitu membina kemahiran profesional, menarik pelbagai bakat dan menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan serta masyarakat.
MOE akan menyediakan peluang kepada guru untuk terus berkembang dalam bidang pengkhususan mereka dan dalam bidang pendidikan.
Para pendidik juga boleh menjalani penempatan di luar konteks pendidikan, seperti melalui program ‘Teacher Work Attachment Plus’.
Sejak diperkenal pada 2022, para guru telah menyertai 3,800 lawatan sambil belajar dan 700 penempatan pekerjaan.
“Melalui lawatan sambil belajar atau penempatan pekerjaan jangka pendek, anda dapat keluar dari ruang bilik darjah untuk mendapatkan perspektif baru dan memahami perkembangan terkini dalam pelbagai industri.
“Kemudian, anda membawa pulang bersama ada pandangan berharga yang boleh dikongsi kepada pelajar dan rakan sekerja,” kata Encik Lee.
“
“Dengan cara ini, guru baru akan ada persediaan lebih baik untuk peranan mereka dan kita dapat memenuhi latar belakang serta keperluan pembelajaran mereka yang pelbagai, dengan lebih berkesan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg