Bunyi semboyan seluruh negara yang biasanya kedengaran setiap tahun pada 15 Februari sempena Hari Pertahanan Mutlak akan dibunyikan lebih awal tahun ini (2026).
Kesemua 280 semboyan Sistem Amaran Awam (PWS), kendalian Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), akan membunyikan isyarat ‘Mesej Penting’ selama seminit pada 3 petang, 1 Februari ini.
PWS juga akan membunyikan isyarat yang sama selama 20 saat pada semua telefon pintar yang mempunyai aplikasi myResponder SCDF atau aplikasi SGSecure, jika kebenaran awal diberikan.
Ini merupakan perubahan sekali sahaja pada bunyian semboyan tahunan pada 15 Februari, bertepatan dengan tarikh penjajah British menyerahkan Singapura kepada Jepun pada 1942.
Tujuannya adalah bagi memberi lebih masa kepada rakyat Singapura menyertai Latihan SG Ready 2026.
Demikian dikongsi Timbalan Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan (Mindef), Brigedier Jeneral (BG) Frederick Choo, semasa satu taklimat media Mindef yang berlangsung di Our Tampines Hub (OTH) pada 15 Januari.
Selain itu, mesej amaran siaran akan dipaparkan buat kali pertama pada peranti unit dalam kendaraan (OBU) Elektronik Jalan Raya (ERP) 2.0 dalam kereta, dengan siaran secara berkala bermula dari 2.45 petang.
Pembunyian semboyan itu akan disusuli dengan siaran Mesej Pertahanan Mutlak 2026 oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, di semua stesen radio tempatan dan saluran televisyen percuma.
Aktiviti sedemikian merupakan sebahagian daripada Latihan SG Ready (ESR) 2026, yang akan bermula pada 1 Februari dan berlangsung selama dua minggu sehingga Hari Pertahanan Mutlak pada 15 Februari.
Menurut Mindef dalam satu kenyataan media pada 15 Januari, ESR 2026 ini memberi tumpuan kepada tahap kesiapsiagaan Singapura dalam menghadapi gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan serta kemerosotan kesalinghubungan digital, dengan bertemakan “Adakah anda bersedia menghadapi gangguan?”.
Latihan tersebut diterajui bersama oleh Mindef dan rakan kongsi lain seperti Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Persatuan Rakyat (PA), dan SCDF.
Ini merupakan edisi ketiga ESR diadakan, dengan yang pertama kalinya pada 2024.
BG Frederick Choo, berkata:
“Kami ingin memulakan tempoh dua minggu ini dari 1 Februari hingga 15 Februari bagi memberi lebih masa kepada rakyat Singapura untuk bersama-sama menggerakkan dan mengaktifkan pelbagai lapisan masyarakat untuk mengambil bahagian dalam latihan ini.”
Mengulas tentang tema ESR 2026, beliau berkongsi perkembangan sejagat terkini menunjukkan gangguan besar bukan lagi sesuatu yang mungkin berlaku, tetapi sesuatu yang harus dijangka.
“Ia tidak lagi wajar untuk kita beranggapan kerana kita berada di negara kita yang sekecil titik merah ini, di rantau yang selamat ini, maka tiada apa-apa yang boleh berlaku kepada kita.
“Saya rasa paradigma ini perlu diubah… Kita mesti bersedia menghadapinya dan membuat perancangan hari ini, bukannya hanya tergesa-gesa untuk bertindak selepas sesuatu berlaku,” ujar beliau.
Sekitar 1,000 pertubuhan, sekolah dan unit daripada sektor pendidikan, masyarakat, perniagaan dan pemerintah akan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan sepanjang tempoh latihan ini.
Beberapa pertubuhan yang terlibat juga akan mensimulasikan gangguan perkhidmatan digital pada 1 Februari dengan meletakkan aplikasi dan laman web tertentu dalam mod penyelenggaraan selama satu jam bermula dari 3 petang.
Antara aplikasi dan laman web yang terlibat ialah BudgetMealsGoWhere, aplikasi OneNS, aplikasi SAFRA, serta aplikasi dan laman web Institut Akauntan Bertauliah Singapura.
Menurut Mindef, rakan kongsi yang terlibat juga akan menyampaikan mesej kepada pengguna bagi mengingatkan kepentingan kesiapsiagaan terhadap gangguan sedemikian, berserta pautan kepada panduan MDDI dan IMDA, “Apa yang Perlu Dilakukan Semasa Gangguan Kesalinghubungan Digital”.
Menerangkan tentang aplikasi dan laman web yang dipilih, BG Choo berkongsi simulasi tersebut bertujuan menguji kedua-dua pihak, iaitu pengguna dan penyedia perkhidmatan.
“Kami telah mensimulasikan gangguan terhadap kumpulan aplikasi tertentu yang sering digunakan oleh rakyat Singapura.
“Latihan ini bertujuan menguji bagaimana pengguna akan bertindak balas, tetapi dalam tempoh satu jam aplikasi berada dalam mod penyelenggaraan, ia juga membolehkan pemilik aplikasi menguji pelan kesinambungan mereka untuk menghadapi situasi gangguan sebenar.
“Kami berharap secara kolektif, ia dapat memperkukuh keupayaan respons dan kemampuan kita untuk bertindak apabila sesuatu berlaku,” jelas beliau.
Maklumat lebih lanjut mengenai ESR 2026, termasuk tarikh, lokasi dan panduan mengenai langkah-langkah kesiapsiagaan semasa gangguan bekalan elektrik dan gangguan digital, boleh diperoleh di https://go.gov.sg/exercisesgready.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg