Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jimat hampir 2 minit laluan ke hospital dengan sistem keutamaan trafik SCDF

Jan 13, 2026 | 3:29 PM
Sistem keutamaan trafik, ambulans, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), laluan “lampu hijau”
Sistem keutamaan trafik memberikan ambulans Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) keutamaan di lampu isyarat, membolehkan mereka mendapat laluan “lampu hijau” ke hospital. - Foto SCDF

Sejak dilaksanakan pada Julai 2024, sistem keutamaan trafik “lampu hijau” buat ambulans kecemasan telah diaktifkan lebih 2,500 kali, sekali gus menjimatkan purata sehingga satu minit 57 saat bagi setiap kecemasan.

Dalam satu hantaran Facebook pada 13 Januari, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata sistem yang kini beroperasi berhampiran lapan hospital itu akan disemak semula dan diperluas ke lebih banyak lokasi.

Sistem tersebut diaktifkan apabila ambulans SCDF membawa pesakit yang dalam keadaan kritikal ke hospital.

Ia memberi laluan “lampu hijau” kepada ambulans SCDF di lampu isyarat, membolehkan mereka sampai ke hospital dengan lebih cepat tanpa tersekat dalam trafik.

Sistem itu berfungsi di persimpangan berhampiran Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Besar Sengkang (SKH), Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan Hospital Woodlands.

Ia dibangunkan bersama oleh SCDF, Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team serta Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dan mula dilaksanakan di persimpangan sekitar NTFGH pada Julai 2024.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), pakar perubatan kecemasan Pusat Penjagaan Segera Thomson Medical, Dr Sanjeev Shanker, berkata setiap saat boleh membawa perbezaan dalam keadaan kecemasan tertentu.

Menurut Dr Shanker, kelewatan ke hospital meningkatkan risiko kerosakan organ kekal atau kematian.

Beliau memberi contoh seperti serangan jantung (heart attack), jantung terhenti (cardiac arrest), angin ahmar, kecederaan trauma dan serangan penyakit yang tiba-tiba (seizure).

Setiap minit jantung terhenti mengurangkan peluang untuk hidup dan meningkatkan risiko kerosakan otak, kata Dr Shanker.

Dalam kes angin ahmar pula, Dr Shanker berkata rawatan yang dikenali sebagai “ubat pencair darah beku” sangat bergantung pada masa.

“Rawatan tersebut hanya boleh diberikan dalam tempoh masa yang terhad, dan jika pesakit lewat tiba di hospital, rawatan itu mungkin tidak lagi dapat diberikan, dan ini akan menyebabkan kesan neurologi kekal yang lebih teruk,” katanya.

Bagi kecederaan trauma yang serius, kehilangan darah dalaman dan luaran boleh menyebabkan kematian dalam beberapa minit, tambah Dr Shanker.

Lebih cepat serangan penyakit dihentikan, lebih rendah risiko bagi kerosakan otak yang kekal.

Sistem keutamaan trafik itu menggunakan transponder elektronik yang dipasang dalam setiap ambulans untuk mengaktifkan laluan keutamaan di persimpangan berhampiran hospital.

Di persimpangan tersebut, penderia (sensor) disambungkan kepada pengawal lampu isyarat, yang akan mengubah lampu isyarat bagi memberi laluan kepada ambulans yang menghampiri.

Penderia itu mengesan transponder dalam ambulans melalui gelombang radio dan diaktifkan apabila ambulans berada dalam jarak 200 meter dari persimpangan tertentu.

Operasi trafik biasa akan disambung semula selepas ambulans melintasi persimpangan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg