Seramai 12 anggota Angkata Bersenjata Singapura (SAF) yang dibawa ke hospital di Australia ekoran kemalangan semasa Latihan Wallaby di Queensland pada 24 September 2024 telah menerima rawatan perubatan.
Mereka juga telah menyertai semula unit itu, menurut satu catatan Facebook The Singapore Army pada 25 September.
Latihan telah disambung semula “dengan penekanan kepada keperluan untuk mengekalkan jarak selamat, terutama apabila memandu dalam keadaan penglihatan yang buruk”, menurut catatan itu.
Pada 24 September, 12 anggota SAF dibawa ke hospital setelah sebuah Kenderaan Tempur Berperisai (AFV) Hunter melanggar bahagian belakang sebuah lagi kenderaan tersebut sekitar 7.40 malam (waktu tempatan) semasa bergerak pulang ke pangkalan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay semasa Latihan Wallaby.
Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Queensland memberitahu media Australia The Courier-Mail bahawa ia telah dimaklumkan mengenai insiden itu pada 8.30 malam (waktu tempatan) dan mangsa yang cedera telah diterbangkan ke Lapangan Terbang Rockhampton dan dihantar ke Hospital Pangkalan Rockhampton.
Dilancarkan pada 2019, AFV Hunter mempunyai tiga kru – komander kenderaan, penembak dan pemandu. Ia juga mampu membawa lapan askar lain.
Ia direka bentuk dan dibangunkan di Singapura oleh Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan dengan Tentera Singapura dan ST Engineering. Ia adalah pengganti bagi armada kenderaan tempur berperisai Ultra M113 Tentera Singapura.
Menurut satu laporan The Straits Times (ST) pada 2019, AFV Hunter itu dilengkapkan senjata dengan meriam 30 milimeter (mm), mesingan 7.62 mm, lapan pelancar bom tangan asap 76 mm, dan dua peluru berpandu anti-kereta kebal.
Latihan tersebut adalah latihan luar negara sepihak terbesar yang dijalankan SAF di negara itu, dengan AFV Hunter mengambil bahagian dalam latihan itu buat kali pertama.
Kira-kira 6,200 kakitangan mengambil bahagian dalam Latihan Wallaby dari 8 September hingga 3 November.
Latihan tersebut hanya melibatkan tentera Singapura sahaja.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg