Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan rasmi pertama PM Thailand ke S’pura

Nov 6, 2025 | 8:08 PM
Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Singapura pada 7 November 2025.
Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Singapura pada 7 November 2025. - Foto REUTERS

Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada 7 November 2025 atas undangan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Encik Anutin ke Singapura.

Lawatan Encik Anutin berlangsung ketika Singapura dan Thailand memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada 2025.

Sepanjang lawatan itu, Encik Anutin akan menerima sambutan kehormat rasmi, menghadap Presiden Tharman Shanmugaratnam serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan Encik Wong.

Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) dua hala dalam bidang keselamatan makanan dan penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan rasmi laman web Kerajaan Diraja Thailand, perbincangan dua hala itu akan merangkumi usaha menggalakkan keselamatan makanan dan tenaga; pembangunan ekonomi digital dan ekonomi hijau; kerjasama dalam bidang kesihatan awam serta penjagaan warga tua, serta membanteras jenayah rentas negara, khususnya penipuan dalam talian.

Encik Wong akan menjadi hos bagi jamuan rasmi sebagai tanda penghormatan kepada Encik Anutin.

Encik Anutin juga dijadual melawat Taman Orkid Negara, di mana satu baka orkid baru akan dinamakan sempena namanya.

Menurut laporan The Business Times yang memetik kenyataan rasmi Kerajaan Diraja Thailand, di bawah perjanjian kerajaan-ke-kerajaan mengenai beras, Thailand akan menjual sehingga 100,000 tan beras kepada Singapura atas permintaan, mengikut harga pasaran antarabangsa semasa.

Perjanjian ini dikatakan akan berkuat kuasa selama lima tahun selepas dimeterai, dengan pilihan untuk diperbaharui bagi tempoh lima tahun berikutnya.

Sebagai rujukan, Singapura mengimport sebanyak 112,744 tan beras dari Thailand – kira-kira satu perempat daripada jumlah keseluruhan import berasnya – pada 2024, menurut data World Integrated Trade Solution (Wits).

Lawatan Encik Anutin merupakan yang terbaru dalam siri pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara, yang telah menjalin hubungan sejak abad ke-19 apabila Raja Chulalongkorn melakukan lawatan luar negara pertamanya ke Singapura pada 1871.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg