BANGKOK: Thailand menyatakan kesediaan untuk memulangkan 18 tahanan perang (POW) Kemboja, namun menegaskan bahawa langkah itu hanya akan dilakukan jika Phnom Penh menunjukkan kerjasama yang ikhlas dan jelas dalam melaksanakan empat langkah keselamatan yang telah dipersetujui kedua-dua negara.
Jurucakap Tentera Darat Diraja Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suwaree berkata keputusan Bangkok mengenai pembebasan tahanan berkenaan akan dibuat berasaskan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
“Pertimbangan ini akan mengambil kira sama ada tahap permusuhan antara kedua-dua pihak telah jelas berkurang, seperti yang dibuktikan melalui pelaksanaan empat langkah yang dipersetujui iaitu penarikan senjata berat dari kawasan sempadan, pelaksanaan kerja-kerja nyahperiuk api, pembanterasan rangkaian jenayah rentas sempadan dan pengurusan kawasan sempadan secara teratur,” katanya kepada media pada 29 Oktober.
Langkah ini susulan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet pada 26 Oktober lalu, yang turut disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump di Sidang Puncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.
Menurut deklarasi bersama itu, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan usaha meredakan ketegangan ketenteraan di bawah pemantauan Pasukan Pemerhati Asean (AOT), termasuk penyingkiran senjata berat dari kawasan sempadan dan memulangkan aset ketenteraan ke pangkalan biasa.
Encik Winthai menjelaskan bahawa kedua-dua pihak telah mula merangka pelan tindakan lengkap dengan jadual pelaksanaan, malah beberapa langkah awal telah diambil.
“Sebagai contoh, kedua-dua negara telah menarik balik kereta kebal dari kawasan sempadan pada 26 Oktober. Walaupun ia lebih bersifat simbolik, ia menandakan permulaan pelaksanaan sebenar perjanjian tersebut,” katanya.
Beliau berkata Sekretariat Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC), yang merangkumi Kawasan Tentera Darat Kedua Thailand dan Wilayah Ketenteraan Keempat Kemboja, telah bermesyuarat pada 28 Oktober untuk memuktamadkan prosedur pelarasan pasukan serta garis masa pengunduran senjata berat.
Dalam aspek pelupusan periuk api, Thailand telah mencadangkan 13 kawasan operasi awal yang melibatkan Kawasan Tentera Darat Pertama, Kedua serta Komando Pertahanan Sempadan Chanthaburi-Trat.
“Operasi telah pun bermula di empat lokasi dan akan diperluaskan secara berperingkat, khususnya antara penanda sempadan 42 hingga 47. Setelah kawasan disahkan selamat, proses tinjauan akan dimulakan bagi mengatur semula penanda sempadan sementara dan menentukan hak pemilikan tanah supaya penduduk dapat memanfaatkan kawasan tersebut,” jelasnya.
Dalam usaha menangani sindiket jenayah dan penipuan rentas sempadan, kerajaan Thailand telah menugaskan Polis Diraja Thailand dan Kementerian Dalam Negeri untuk mengetuai operasi tersebut.
“Mereka telah berkongsi maklumat sasaran dengan pihak berkuasa Kemboja dan menubuhkan Pasukan Petugas Bersama bagi memantau dan menangani isu ini secara berterusan,” ujar Encik Winthai.
Encik Winthai berkata semua perkembangan akan dipantau melalui mekanisme dua hala sedia ada seperti Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC), Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) dan RBC.
Namun beliau memberi amaran bahawa komitmen Thailand mempunyai hadnya.
“Jika langkah yang dipersetujui gagal menunjukkan hasil yang jelas dan mencukupi, Tentera Darat Diraja Thailand mungkin mempertimbangkan tindakan tambahan dalam rangka undang-undang dan prinsip antarabangsa bagi memastikan kedaulatan serta kepentingan negara terus dipelihara,” tegasnya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg