Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan rasmi PM Lee ke Vietnam 27-29 Ogos

Aug 26, 2023 | 6:00 PM
Encik LEE HSIEN LOONG: Lawatan ke Vietnam juga sempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala kedua-dua negara.
Encik LEE HSIEN LOONG: Lawatan ke Vietnam juga sempena ulang tahun ke-50 hubungan dua hala kedua-dua negara. - Foto fail

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Hanoi, Vietnam, atas undangan Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh.

Rangka lawatan Encik Lee, yang bermula dari 27 Ogos hingga 29 Ogos itu, adalah bagi membalas kunjungan rasmi Encik Chinh ke Singapura pada Februari 2023, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Sabtu. 

Lawatan kedua-dua Perdana Menteri itu ke Singapura dan Vietnam adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala kedua-dua negara serta ulang tahun ke-10 Kerjasama Strategik Singapura dengan Vietnam.

Menurut kenyataan itu, semasa di Hanoi, Encik Lee dijadualkan bertemu dengan Encik Chinh serta pemimpin negara yang lain. 

Ini termasuk pertemuan dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, Encik Nguyen Phu Trong; Presiden, Encik Vo Van Thuong; serta Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan, Encik Vuong Dinh Hue. 

Encik Lee juga akan menghadiri satu majlis jamuan malam rasmi yang dianjurkan Encik Chinh.

Dalam lawatan itu, beliau dijangka menghadiri satu acara mengenai Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP) bersama Encik Chinh, serta menyaksikan acara pecah tanah secara maya bagi beberapa VSIP baru, di samping penyampaian lesen pelaburan bagi beberapa VSIP baru. 

Menurut PMO, sebanyak 13 VSIP yang sedia ada dan sudah menerima lesen pelaburan oleh Vietnam, sejauh ini telah menjana pertumbuhan ekonomi yang besar di utara, selatan dan tengah Vietnam.

Ia telah menarik pelaburan bernilai lebih AS$18.4 bilion ($24.9 bilion) serta mewujudkan sekitar 300,000 pekerjaan. VSIP merupakan tunggak penting dalam hubungan ekonomi Singapura dan Vietnam.

Dalam pada itu, kededua pemimpin dijangka bertemu dengan pelajar Universiti Nasional Vietnam serta peserta program Pertukaran Pemimpin Belia Singapura-Vietnam (SVYLE), yang dianjurkan secara tahunan.

Encik Lee akan diringi oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng. 

Semasa ketiadaannya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri.

Dagangan dua hala antara Singapura dengan Vietnam telah tumbuh kukuh sejak sedekad lalu, dengan nilai dagangan dua hala mencapai $31.3 bilion pada 2022.

Singapura merupakan pelabur kedua terbesar Vietnam dengan sekitar AS$70.8 bilion dilaburkan hingga Disember 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg