Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Lawatan Senja Fort Siloso’ singkap pengalaman mirip Perang Dunia Kedua

Peserta berpeluang selami suasana hampir serupa seperti pengurangan cahaya, pelajari peranan kubu
Feb 11, 2025 | 1:54 PM
Peserta pada sesi pratonton media, ‘Lawatan Senja Fort Siloso’,  memegang pelita berkuasa bateri ketika menuruni kompleks terowong kubu itu pada 10 Februari.
Peserta pada sesi pratonton media, ‘Lawatan Senja Fort Siloso’, memegang pelita berkuasa bateri ketika menuruni kompleks terowong kubu itu pada 10 Februari. - Foto ST

Sepanjang beberapa minggu sebelum British menyerahkan Singapura kepada Jepun pada 15 Februari 1942, kemungkinan besar askar British di Fort Siloso berasa cemas dan bimbang pesawat perang Jepun akan melakukan serangan mengejut ke atas mereka.

Semasa melalui terowong dan bilik di kubu yang dibina pada 1878 itu, pasukan askar mungkin memegang pelita minyak untuk menerangi laluan sempit tersebut.

Dengan memegang pelita berkuasa bateri dan melalui terowong itu ketika matahari terbenam, sebagai sebahagian daripada Fort Siloso Twilight Tour (Lawatan Senja Fort Siloso), orang ramai berpeluang merasai pengalaman yang dilalui oleh askar Artileri Diraja British di Fort Siloso itu pada 1940-an,

Lawatan itu merupakan program utama inisiatif, Battle For Singapore 2025 (Pertarungan bagi Singapura 2025), anjuran Lembaga Warisan Negara (NHB) dan rakan kongsinya bagi memperingati kejatuhan Singapura semasa Perang Dunia Kedua.

Setiap peserta dikenakan bayaran $25 bagi lawatan 90 minit itu, yang bermula pada 6 petang setiap Sabtu dan Ahad dari 15 Februari hingga 2 Mac.

Lawatan itu dikendalikan oleh sejarawan, Dr John Kwok, dan penolong pengurus, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC), Encik Saifullah Kamaludin, lapor The Straits Times (ST).

Dr Kwok berkata peserta akan diberi akses eksklusif ke Fort Siloso selepas waktu tutup biasa pada 6 petang, dan akan “mengalami suasana seperti sedang dikerahkan di sini dan mengendalikan kubu ini pada waktu senja”.

Semasa sesi pratonton media pada 10 Februari, Dr Kwok berkata:

“Pelajaran yang ingin disampaikan ialah, tidak semua perkara berlaku pada siang hari. 

“Pada waktu malam, sepatutnya anda berehat dan menenangkan diri, tetapi askar meriam di kubu ini berasa cemas, tidak tahu apakah yang berlaku di tanah besar.

“Kami ingin peserta datang dan merasai apa yang mungkin berlaku di sini pada masa itu.”

Dr Kwok berkata pasukan yang mengendalikan lawatan itu merujuk kepada sumber sejarah, seperti akhbar dan jurnal, untuk mengatur dan menghidupkan semula pengalaman askar British menjelang 15 Februari 1942.

Ia termasuk artikel ST terbitan Mac 1939, yang melaporkan langkah pemadaman lampu (blackout) wajib yang pertama di Singapura, dengan lampu dimatikan pada 11 malam.

Aliran trafik tidak dibenarkan dari 3 pagi hingga 4.30 pagi, kecuali kenderaan di jalan raya milik pasukan polis dengan cahaya yang amat samar.

Satu lagi artikel dari 1941 menjelaskan pemadaman dan pengurangan cahaya (brownout) – menggunakan lampu yang dihadkan, dilakukan untuk menyekat kebolehan pesawat musuh dalam mencari arah.

Peserta lawatan akan merasai suasana yang lebih mirip dengan pengurangan cahaya.

Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, peserta akan turut mempelajari tentang peranan kubu tersebut semasa Perang Dunia Kedua.

Secara keseluruhan, Battle For Singapore 2025, akan menampilkan lebih 20 program percuma dan berbayar. 

Antara program baru yang dianjurkan pada 2025 ialah lawatan menaiki bas bagi meneroka sumbangan tentera sukarela di laut dan tapak pertahanan.

Ia dikendalikan oleh pengarang yang juga penulis blog warisan, Encik Jerome Lim, serta lawatan bas ke Pangkalan Udara Tengah, yang ditakluki Jepun semasa Perang Dunia Kedua. 

Kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas dan ibu bapa mereka pula boleh menyertai program berasaskan pengalaman yang dikendalikan oleh pengumpul pakaian seragam dan peralatan tentera, Encik Alvin Lee, untuk mempelajari bagaimana askar pada 1940-an makan dan menjaga penampilan mereka.

Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Muzium NHB, Encik Goh Chour Thong, berkata:

“Kisah mereka yang terkesan oleh peristiwa Perang Dunia Kedua di Singapura kekal menarik dan terus menambat perhatian, meskipun ia berlaku bertahun-tahun lalu dan landskap serta cara hidup kita juga telah melalui perkembangan besar.

“Kami berharap peserta tahun ini (2025) terus terkesan dan tersentuh hati dengan peluang untuk melalui (pengalaman) tempoh penting dalam sejarah Singapura ini.”

Untuk maklumat lanjut mengenai program penuh, Battle For Singapore 2025, layari laman web, www.museums.com.sg.

Pendaftaran bermula pada 12 tengah hari pada 11 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg