Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawatan Sultan Haitham tanda hubungan rapat S’pura dan Oman

Dec 15, 2023 | 8:35 PM
KUKUH HUBUNGAN RAPAT: Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (kanan) berkata lawatan Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tarik (tengah), mengesahkan hubungan rapat antara Singapura dengan Oman.
KUKUH HUBUNGAN RAPAT: Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman (kanan) berkata lawatan Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tarik (tengah), mengesahkan hubungan rapat antara Singapura dengan Oman. - Foto FACEBOOK DR MALIKI OSMAN

Lawatan Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tarik, ke Singapura mengesahkan hubungan rapat kededua negara dan menetapkan asas yang kukuh untuk kerjasama yang lebih mendalam, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.

Dr Maliki berkata demikian dalam satu catatan Facebook pada 15 Disember yang merupakan hari terakhir lawatan Sultan Haitham di sini.

Dr Maliki, yang juga Menteri Yang Hadir bagi lawatan Sultan Haitham ke Singapura, berkata: “Saya telah melawat Oman beberapa kali dan sentiasa tersentuh dengan kemesraan dan keramahan tuan rumah.

“Oman dan Singapura menikmati persahabatan yang mesra dan lawatan ini mengesahkan hubungan rapat kami dan menetapkan asas yang kukuh untuk kerjasama yang lebih mendalam antara agensi kami dalam bidang seperti pentadbiran awam, pendidikan dan tenaga, serta kerjasama ekonomi yang lebih erat.”

Sultan Haitham juga bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam pertemuan berasingan pada 15 Disember.

Di samping pertemuan tersebut, Sultan Haitham diberikan taklimat mengenai inisiatif Negara Bijak dan Majlis Ekonomi Masa Depan Singapura.

Dalam lawatan negara pertama Oman ke Singapura itu yang berlangsung selama tiga hari dari 13 hingga 15 Disember, Sultan Haitham ditemani oleh delegasi berperingkat tinggi Oman.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri Ehwal Pertahanan, Encik Sayyid Shihab Tarik Al Said; Menteri Diwan Mahkamah Diraja, Encik Sayyid Khalid Hilal Al Busaidi; Menteri Pejabat Diraja, Encik Sultan Mohammed Al Nomani; Menteri Luar Negara, Encik Sayyid Badr Hamad Bin Hamood Al Busaidi; Ketua Pejabat Swasta, Dr Hamad Said Al Aufi; Presiden Penguasa Pelaburan Oman, Encik Abdulsalam Mohammed Al Murshidi; Menteri Perdagangan, Industri dan Promosi Pelaburan, Encik Qais Mohammed Al Yousef; serta Menteri Tenaga dan Mineral, Encik Salem Nasser Al Aufi.

Dalam satu pertemuan berasingan pada 15 Disember juga, Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, bertemu Encik Sayyid Badr untuk satu jamuan sarapan. Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Semasa pertemuan mereka, kededua Encik Teo dan Encik Sayyid Badr membincangkan perkembangan di Singapura dan Oman.

Mengulas tentang pertemuan tersebut, Encik Teo berkata dalam catatan Facebooknya: “Kami telah bertukar pandangan mengenai perkembangan di wilayah masing-masing.

“Sebagai rakan perdagangan dan negara maritim, Singapura dan Oman mempunyai kepentingan bersama dalam mempromosikan perdagangan bebas dan terbuka, multilateralisme, dan penyelesaian pertikaian secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa.”

Sultan Haitham juga telah bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada 14 Disember.

Pada 14 Disember, dua Memorandum Persefahaman (MOU) juga telah dimeterai yang akan menyaksikan Singapura dan Oman bekerjasama dalam bidang kebudayaan dan belia, serta pembangunan ekonomi.

Sebelum pemeteraian kededua MOU, Sultan Haitham berkunjung ke Taman Bunga Singapura untuk diberi penghormatan dengan satu hibrid bunga orkid baru, Dendrobium H.M. Sultan Haitham Bin Tarik, dinamakan sempena namanya.

Singapura dan Oman menjalin hubungan diplomatik pada 21 Februari 1985, dengan Oman menubuhkan Konsulat Jeneral di sini pada Mei 2011, manakala Singapura membuka Konsulat Jeneral di Muscat pada 2013.

Kededua negara telah menaik taraf Konsulat Jeneral masing-masing kepada kedutaan yang diketuai oleh seorang Chargé d’Affaire pada 1 Januari 2023.

“Oman dan Singapura menikmati persahabatan yang mesra dan lawatan ini mengesahkan hubungan rapat kami dan menetapkan asas yang kukuh untuk kerjasama yang lebih mendalam antara agensi kami dalam bidang seperti pentadbiran awam, pendidikan dan tenaga, serta kerjasama ekonomi yang lebih erat.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg