Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lawrence Wong buat lawatan rasmi pertama ke China sebagai PM

Lawatan itu bagi rangka hala tuju strategik hubungan dua hala dengan China
Jun 22, 2025 | 2:22 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong akan bertemu tiga pemimpin utama China termasuk Presiden Xi Jinping sewaktu lawatannya itu.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong akan bertemu tiga pemimpin utama China termasuk Presiden Xi Jinping sewaktu lawatannya itu. - Foto fail

BEIJING: Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong akan mengadakan lawatan rasmi selama lima hari ke China dari 22 Jun, di mana beliau akan berusaha merangka hala tuju strategik hubungan dua hala dengan para pemimpin China.

Ini merupakan lawatan pertama beliau ke China sejak memegang jawatan pada Mei 2024.

Di Beijing, beliau dijadualkan bertemu tiga pemimpin utama negara itu – Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Encik Li Qiang, dan Pengerusi Kongres Rakyat Nasional, Encik Zhao Leji.

Lawatan ini memberi peluang untuk mengukuhkan komitmen kededua pihak dalam mempererat hubungan dan membincangkan isu dua hala serta perkembangan serantau dan global, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 22 Jun, lapor The Straits Times (ST).

Lawatan ini bertepatan dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Singapura dengan China.

Pada 2023, kededua negara meningkatkan hubungan mereka kepada ‘Perkongsian Kualiti Tinggi yang Mengutamakan Masa Depan.’

Encik Wong juga akan mengunjungi Tianjin untuk menghadiri ‘Summer Davos’, di mana beliau akan menyertai dialog bersama Presiden Forum Ekonomi Sedunia (WEF), Encik Børge Brende.

Nama rasmi acara ini adalah Mesyuarat Tahunan WEF bagi Juara Baru.

Walaupun ini lawatan pengenalan Encik Wong sebagai Perdana Menteri, beliau kembali ke tempat yang dikenali. 

Sejak menyertai politik pada 2011, hampir setiap tahun beliau mengunjungi China, kecuali semasa pandemik.

Beliau juga pernah mempengerusikan Jawatankuasa Perdagangan Singapura-Sichuan dan mengawasi Eco-City Tianjin semasa beliau Menteri Pembangunan Negara.

Kali terakhir beliau melawat China pada Disember 2023, Encik Wong masih menjadi Timbalan Perdana Menteri (DPM) dan pengerusikan Majlis Kerjasama Dua Hala bersama Timbalan Perdana Menteri, Encik Ding Xuexiang. 

Setelah beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2024, DPM Gan Kim Yong mengambil alih peranan tersebut.

Singapura mengutamakan hubungan mesra dengan China melalui pertemuan berkala.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong melawat China pada November 2024 dan bertemu Presiden Xi. Hubungan ekonomi antara kededua negara kekal kukuh dan saling menguntungkan.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Singapura selama lebih satu dekad, mewakili sekitar 13 peratus daripada dagangan barangan global Singapura itu pada 2024.

Singapura juga merupakan pelabur asing terbesar China.

Untuk lawatan ke China, Encik Wong akan disertai oleh anggota baru dalam Kabinetnya – Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow.

Seorang lagi muka baru yang turut menyertai lawatan tersebut ialah Dr Syed Harun Alhabsyi, mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Beliau dilantik pada Mei sebagai Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Negara.

Anggota delegasi Encik Wong yang lain termasuk Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kemampanan dan Sekitaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, serta Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.

Selepas lawatan rasmi, Encik Wong akan bercuti pada 27 Jun, menurut pejabatnya.

Semasa ketiadaannya, Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, akan menyandang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri dari 22 hingga 25 Jun.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam akan mengambil alih dari 26 hingga 27 Jun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg