Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Dunia perlu atasi ketegangan, kurangkan risiko konflik dan perang

Tanpa kepimpinan sejagat yang jelas, kesan buruk boleh berlaku
Jun 20, 2025 | 10:30 PM
perdana menteri lawrence wong, leaders talk, cctv-13
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam wawancara program ‘Leaders Talk’ di saluran berita dan ehwal semasa China, ‘CCTV-13’, yang disiarkan pada 20 Jun, menjelang lawatan rasmi pertama beliau ke China minggu depan. - Foto MDDI

Semua negara perlu memainkan peranan untuk mengendalikan ketegangan dan persaingan geopolitik dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko konflik dan peperangan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini sedang dunia kini mengalami tempoh peralihan yang “sangat tidak dapat diramalkan, sangat huru-hara dan berpotensi sangat berbahaya juga”, tambah beliau.

Encik Wong turut menekankan keperluan bagi negara besar dan kecil menegakkan aturan berbilang hala yang berasaskan peraturan kerana tanpanya, “negara di mana-mana jua akan menjadi kurang makmur”.

Beliau berkata demikian dalam wawancara program, ‘Leaders Talk’, di saluran berita dan ehwal semasa China, CCTV-13, yang disiarkan pada 20 Jun, menjelang lawatan rasmi pertama beliau ke China sebagai Perdana Menteri minggu depan.

Ditanya mengenai keadaan sejagat hari ini, Encik Wong berkata Amerika Syarikat telah membantu membentuk sistem peraturan dan norma pelbagai hala yang wujud hari ini – sesuatu yang telah memberi manfaat kepada banyak negara, termasuk Singapura dan juga China.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat Amerika berasa mereka mengalami kesan negatif dalam proses mendukung aturan itu dan tidak menikmati faedah setimpal, dan yang demikian, mahu mengundurkan diri.

Bagaimanapun, Encik Wong berkata tiada negara di dunia hari ini yang dapat menggantikan Amerika, dan dunia kini dalam “keadaan sentiasa berubah-ubah, dan ia akan mengambil masa sebelum kita menemui keseimbangan baru”.

“Saya fikir aturan baru akan akhirnya dibentuk bukan sahaja oleh satu kuasa besar, malah oleh semua negara, besar dan kecil, oleh tindakan dan pilihan semua negara besar dan kecil. Dan ini akan mengambil masa,” kata beliau.

Tanpa kepimpinan dan penyelarasan sejagat yang jelas sedang dunia melalui tempoh peralihan, Encik Wong berkata kesan buruk boleh berlaku, dan adalah penting bagi negara-negara menyedari bahaya yang dihadapi.

“(Adalah penting) Bagi kita semua mainkan peranan untuk mengendalikan ketegangan dan persaingan geopolitik dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko konflik dan peperangan.

“(Penting juga) kita mencari cara bagi mendapatkan negara-negara terus bekerjasama dan mencari kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak, terutama dalam bidang kepentingan bersama.

“Dan kemudian langkah demi langkah, kita semua boleh bekerjasama untuk meletakkan asas bagi aturan sejagat baru dan lebih stabil yang mungkin muncul pada tahun-tahun mendatang,” ujar beliau.

Daripada perspektif Singapura sebagai sebuah negara kecil dengan ekonomi terbuka yang bergantung pada perdagangan, Encik Wong berkata persekitaran luaran yang baru itu akan menjadikan ia kurang mesra untuk negara ini terus berkembang maju.

Namun, Singapura akan berusaha agar terus kekal berdaya saing dan relevan, dan pada masa yang sama, bekerjasama dengan negara yang berfikiran sehaluan bagi menegakkan perdagangan bebas dan sistem perdagangan berasaskan peraturan.

Beliau menambah bahawa negara kecil seperti Singapura tentu sekali amat prihatin kerana “kita mempunyai kuasa tawar-menawar yang terhad”, tetapi negara besar juga akan terjejas tanpa peraturan dan norma kerjasama.

“Kerana akhirnya dunia menjadi lebih berpecah belah, apabila terdapat syak wasangka mendalam dan ketidakpercayaan antara satu sama lain, ini akan menjadi dunia dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan besar, dan anda akan mempunyai pertumbuhan lebih perlahan dan inflasi lebih tinggi dalam ekonomi sejagat.

“Ini bererti semua negara akan menderita, dan rakyat kita pada penghujung hari akan menghadapi kesannya,” kata beliau.

Dalam wawancara itu, Encik Wong turut menyentuh tentang hubungan dua hala antara Singapura dengan China, sambil berkata kedua-dua negara itu mempunyai kerjasama amat rapat dan teguh, yang dibina atas kepercayaan, rasa hormat dan persefahaman bersama.

Encik Wong akan mengadakan lawatan rasmi pertama ke China sebagai Perdana Menteri minggu hadapan, dan akan menjalin hubungan lebih rapat dengan pemimpin negara itu, terutama Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang.

Apabila bertemu nanti, Encik Wong berkata Singapura dan China akan mengesahkan komitmen bersama untuk mempertingkat kerjasama dua hala, terutama sedang dua negara itu meraikan ulang tahun hubungan diplomatik yang ke-35 pada 2025.

Beliau menambah mereka akan turut membincangkan perkembangan rantau dan sejagat semasa tempoh mencabar ini dan melihat pada cara untuk terus bekerjasama demi memperkukuh kerjasama berbilang hala dan perintah global berasaskan peraturan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg