Topik diikuti
Pergi ke BHkuLBKM perkenal geran bantu pelajar madrasah
LBKM perkenal geran bantu pelajar madrasah
LBKM perkenal geran bantu pelajar madrasah
Para pelajar madrasah akan menerima lebih banyak bantuan dengan pelancaran satu geran baru oleh Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Sebanyak $270,000 telah diperuntukkan untuk tempoh tiga tahun di bawah Geran Bantuan Pelajar Madrasah bagi membantu madrasah-madrasah setempat.
Menerusi geran itu, LBKM akan menyalurkan $15,000 setiap tahun kepada setiap enam madrasah sepenuh masa di Singapura.
Dilancarkan sempena Majlis Anugerah Madrasah ke-10 di Istana Ballroom, Kinex, Tanjong Katong pada 3 Julai, dana itu bertujuan menyokong program pembangunan pelajar serta memperkukuh infrastruktur digital di madrasah.
Ia memberi tumpuan kepada dua bidang yang sebelum ini belum menerima pembiayaan secara sistematik di peringkat madrasah, iaitu program pembangunan pelajar yang memupuk kesedaran tentang kemampanan dan kompetensi abad ke-21, serta usaha pendigitalan termasuk penyediaan peranti pembelajaran peribadi, langganan aplikasi pendidikan dan latihan digital untuk pelajar.
Presiden LBKM, Encik Abdul Rohim Sarip, berkata dalam ucapannya semasa majlis itu, bahawa geran tersebut bertujuan memperkukuh sokongan kepada madrasah, khususnya dalam aspek kesejahteraan pelajar.
“Geran ini bukan sekadar untuk individu, tetapi untuk keseluruhan ekosistem madrasah, termasuk program, infrastruktur dan persekitaran yang membentuk setiap pelajar yang melangkah masuk ke institusi ini. Kami percaya bahawa menyokong ekosistem adalah sama pentingnya dengan menyokong setiap individu,” katanya.
Setiap madrasah akan diberi kepercayaan untuk menyalurkan dana itu mengikut keperluan pelajar masing-masing.
Dalam pada itu, kesemua enam madrasah telah mencalonkan seramai 14 pelajar dalam tiga kategori, iaitu Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ dan Prauniversiti bagi Anugerah Madrasah tahun ini.
Calon dipilih berdasarkan kecemerlangan akademik dalam mata pelajaran duniawi dan ukhrawi, selain kepimpinan serta sahsiah diri.
Penerima anugerah bagi kategori PSLE ialah Sulaikah Sulaiman, 13 tahun, yang dicalonkan oleh Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan kini melanjutkan pengajian di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Bagi kategori GCE peringkat ‘O’ pula, penerimanya ialah Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan, 17 tahun, yang dicalonkan oleh Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah dan kini menuntut di Politeknik Temasek.
Bagi kategori Prauniversiti, penerimanya ialah Encik Aiman Hazeeq Rohaizad, 21 tahun, yang dicalonkan oleh Madrasah Wak Tanjong dan kini sedang menunggu untuk memulakan pengajian di universiti.
Kesemua 14 calon menerima baucar buku bernilai $200.
Pemenang pula menerima hadiah wang tunai sebanyak $500 bagi kategori PSLE, $1,000 bagi kategori GCE peringkat ‘O’, dan $1,500 bagi kategori Prauniversiti.
