Persaingan sengit menentang pembahas dari Singapura, Malaysia, Brunei, Indonesia dan India tidak menghalang Cik Nur Insyirah Mohamed Faizal daripada menonjol apabila beliau tersenarai sebagai antara 10 Pembahas Terbaik dalam Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied (BP SARA) – Kejohanan Debat Bahasa Arab Antara Sekolah 2026.

Cik Nur Insyirah, 18 tahun, pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, malahan, menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangka.

“Saya rasa sangat terharu dan tidak sangka dapat menerima pengiktirafan sebegini. Pencapaian ini tidak mungkin dapat diraih tanpa rakan sepasukan dan jurulatih yang banyak berkorban masa untuk berlatih bersama,” katanya. 

Menurutnya, kejayaan itu bukan hasil usaha individu semata-mata, tetapi didorong kerjasama erat rakan sepasukan, bimbingan jurulatih serta sokongan alumni, sekolah dan keluarga yang sentiasa memberi kata-kata semangat sepanjang tempoh persediaan.

Bagi memastikan pasukan bersedia menghadapi pertandingan itu, mereka menjalani latihan secara konsisten hampir setiap hari selepas waktu persekolahan bersama jurulatih serta alumni bahas sekolah.

Menurut Cik Nur Insyirah, cabaran utama adalah mengimbangi tuntutan akademik dengan komitmen sebagai pembahas, namun pengalaman tersebut mengajarnya nilai disiplin, pengurusan masa dan ketabahan.

Selain mengasah kemahiran berhujah, pertandingan itu turut memberi peluang kepadanya bertukar pandangan dengan peserta dari negara lain mengenai pelbagai isu semasa yang memberi kesan kepada golongan belia.

Antara topik yang paling menarik perhatiannya termasuk peranan teknologi dalam masyarakat serta persoalan berkaitan masa depan pendidikan.

“Saya suka mendengar hujah pihak lawan kerana ia membuka minda saya untuk melihat sesuatu isu daripada perspektif yang berbeza. Pengalaman itu membantu saya berfikir secara lebih kritis dan memahami bagaimana orang lain membentuk pandangan mereka,” katanya.

Beliau turut menyifatkan penyertaan peserta antarabangsa sebagai pengalaman yang memperluaskan pemahamannya terhadap pelbagai budaya dan ideologi.

Menurutnya, pendedahan sedemikian penting dalam membentuk generasi muda yang lebih terbuka, matang dan bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan.

Cik Nur Insyirah juga merakamkan penghargaan kepada alumni sekolah yang terus membimbing dan berkongsi pengalaman dengan pasukan debatnya.

“Sokongan serta nasihat yang diberikan bukan sahaja membantu memperkukuh kemahiran berbahas, malah mengajarnya cara berfikir secara kritis dan membuat keputusan dengan yakin dalam tempoh yang terhad,” jelasnya.