Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 1 juta isi rumah HDB terima rebat S&CC, U-Save berganda pada Okt
Lebih 1 juta isi rumah HDB terima rebat S&CC, U-Save berganda pada Okt
Lebih sejuta isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bakal menerima rebat bagi bil utiliti serta bayaran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) pada Oktober ini, sebagai sebahagian daripada skim pemerintah untuk meringankan beban kos sara hidup.
Dalam satu kenyataan pada 30 September, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save sehingga $190 bagi bil utiliti mereka – iaitu seganda daripada jumlah biasa.
Mereka juga akan menerima rebat S&CC bernilai sehingga satu bulan pada Oktober.
Jumlah rebat U-Save dan S&CC yang diterima berbeza mengikut jenis flat.
Sebagai contoh, penghuni flat empat bilik akan menerima rebat U-Save sebanyak $150 – merangkumi $75 rebat biasa dan $75 rebat tambahan – serta rebat S&CC bernilai separuh bulan.
Sementara itu, penghuni flat satu dan dua bilik pula akan menerima $190 rebat U-Save dan satu bulan rebat S&CC.
Secara keseluruhan, setiap isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save sehingga $760 dan rebat S&CC sehingga 3.5 bulan bagi tempoh April 2026 hingga Januari 2027.
Rebat utiliti dan S&CC akan dimasukkan secara automatik ke akaun isi rumah yang layak di bawah pengendali grid SP Services dan majlis bandaran masing-masing, kata MOF.
Rebat ini adalah sebahagian daripada skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) tetap yang bertujuan membantu isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana menangani peningkatan kos sara hidup serta kenaikan GST.
Pada Julai, pemerintah mengumumkan bahawa isi rumah yang layak akan menerima rebat U-Save seganda berbanding jumlah biasa pada Oktober 2026 dan Januari 2027 bagi membantu mereka menangani peningkatan kos susulan krisis di Timur Tengah.
Untuk layak menerima rebat U-Save, isi rumah harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemilik atau penghuni yang merupakan warga Singapura, jika flat berkenaan tidak disewakan atau disewakan sebahagiannya.
Bagi flat yang disewakan sepenuhnya, isi rumah layak menerima rebat berkenaan jika sekurang-kurangnya seorang penyewa merupakan warga Singapura.
Kementerian itu menyatakan bahawa isi rumah dengan penghuni yang memiliki lebih daripada satu hartanah tidak layak menerima rebat U-Save.
Antara isi rumah yang tidak layak menerima rebat S&CC termasuk isi rumah tanpa pemilik atau penghuni yang merupakan warga Singapura, isi rumah yang pemilik atau penghuni utamanya memiliki atau mempunyai kepentingan dalam hartanah privet, dan isi rumah yang menyewakan keseluruhan flat.
Untuk menyemak kelayakan bagi rebat S&CC, orang ramai boleh log masuk ke halaman MyHDB menggunakan Singpass.
Rebat U-Save dan S&CC diagihkan setiap tiga bulan sekali, iaitu pada April, Julai, Oktober dan Januari.