Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih $10.6j hilang kepada penipuan iklan pekerjaan sejak Okt

Nov 25, 2025 | 1:05 PM
Sesetengah mangsa menerima mesej daripada penipu melalui WhatsApp dan Telegram.
Sesetengah mangsa menerima mesej daripada penipu melalui WhatsApp dan Telegram. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Orang ramai harus berhati-hati terhadap iklan pekerjaan dalam talian atau di platform media sosial yang menjanjikan komisen untuk melakukan tugasan di platform dalam talian, menjalankan perniagaan dalam talian, atau melengkapkan tinjauan web.

Pada 24 November, polis menyatakan sekurang-kurangnya 215 kes telah dilaporkan sejak Oktober, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya $10.6 juta.

Iklan penipuan itu sering disiarkan di platform media sosial dan portal pekerjaan. Mangsa juga menerima mesej daripada penipu melalui platform seperti WhatsApp dan Telegram, lapor The Straits Times (ST).

Penipu biasanya menawarkan tiga jenis tugasan dalam talian, yang akhirnya membawa kepada permintaan bayaran tinggi daripada mangsa.

Jenis pertama melibatkan tugasan dalam talian yang memerlukan mangsa melakukan aktiviti seperti mempromosikan jenama, mengoptimumkan aplikasi atau menyiapkan pesanan sebagai pertukaran komisen.

Mangsa perlu membuat deposit wang untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Jenis kedua melibatkan perniagaan dalam talian, yang mana penipu meminta mangsa mendaftar akaun untuk laman web palsu. Dalam tugasan itu, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan bagi setiap pesanan yang diterima melalui kedai dalam talian mereka, dengan janji akan menerima komisen apabila pesanan dihantar.

Walaupun mangsa pada mulanya menerima komisen seperti dijanjikan, bayaran pendahuluan untuk pesanan seterusnya semakin meningkat sebelum mereka dimaklumkan tentang “masalah tertentu” yang memerlukan deposit tambahan.

Jenis ketiga pula melibatkan tinjauan web, yang mana mangsa diminta melengkapkan tinjauan sebagai pertukaran komisen. 

Mereka juga perlu membuat bayaran pendahuluan untuk melengkapkan tinjauan tersebut, dan apabila jumlah bayaran meningkat secara beransur-ansur, mangsa mendapati mereka tidak dapat menyiapkan tinjauan atau mengeluarkan duit mereka seperti yang dijanjikan.

Dalam semua jenis tugasan ini, mangsa biasanya hanya sedar mereka ditipu selepas mendepositkan terlalu banyak wang atau apabila gagal mengeluarkan “pendapatan” yang dijanjikan, menurut polis.

Untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan memuat turun aplikasi ScamShield dan mengaktifkan ciri keselamatan yang dapat menghalang pengguna tidak dikenali daripada memasukkan mereka ke dalam kumpulan sembang.

Jika ragu-ragu, hubungi Talian Bantuan ScamShield 24/7 di 1799 untuk membuat semakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg