Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih $10.6j lesap dek penipuan iklan kerja sejak Okt

Nov 25, 2025 | 1:05 PM
penipuan kerja, job scam, WhatsApp, Telegram, polis
Sesetengah mangsa menerima mesej daripada penipu melalui wadah media sosial seperti, WhatsApp dan Telegram. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Orang ramai harus berhati-hati terhadap iklan pekerjaan dalam talian atau di wadah media sosial yang menjanjikan komisen untuk melakukan tugasan di platform dalam talian, menjalankan perniagaan dalam talian, atau melengkapkan tinjauan web.

Pada 24 November, polis menyatakan sekurang-kurangnya 215 kes penipuan telah dilaporkan sejak Oktober, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya $10.6 juta.

Iklan penipuan itu sering disiarkan di wadah media sosial dan portal pekerjaan.

Mangsa turut menerima mesej daripada penipu melalui wadah seperti WhatsApp dan Telegram, lapor The Straits Times (ST).

Penipu biasanya menawarkan tiga jenis tugasan dalam talian, yang akhirnya membawa kepada permintaan bayaran tinggi daripada mangsa.

Jenis pertama, melibatkan tugasan dalam talian yang memerlukan mangsa melakukan kegiatan seperti mempromosikan jenama, mengoptimumkan aplikasi atau menyiapkan pesanan bagi mendapatkan komisen.

Mangsa perlu meletak wang cengkeram untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Jenis kedua, melibatkan perniagaan dalam talian, dan penipu meminta mangsa mendaftar akaun untuk laman web palsu.

Dalam tugasan itu, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan bagi setiap pesanan yang diterima melalui kedai dalam talian mereka, dengan janji akan menerima komisen apabila pesanan dihantar.

Walaupun mangsa pada mulanya menerima komisen seperti dijanjikan, bayaran pendahuluan untuk pesanan seterusnya semakin meningkat, sebelum mereka dimaklumkan tentang “masalah tertentu” yang memerlukan deposit tambahan.

Jenis ketiga pula, melibatkan tinjauan web, mangsa diminta melengkapkan tinjauan untuk mendapatkan komisen. 

Mereka juga perlu membuat bayaran pendahuluan untuk melengkapkan tinjauan tersebut, dan apabila jumlah bayaran meningkat secara beransur-ansur, mangsa mendapati mereka tidak dapat menyiapkan tinjauan berkenaan, atau mengeluarkan wang pendapatan mereka seperti yang dijanjikan.

Menurut polis, dalam ketiga-tiga jenis tugasan itu, mangsa biasanya hanya sedar mereka ditipu selepas meletakkan terlalu banyak wang deposit atau apabila gagal mengeluarkan “pendapatan” yang dijanjikan.

Untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi ScamShield dan mengaktifkan ciri keselamatan yang dapat menghalang pengguna tidak dikenali daripada memasukkan mereka ke dalam kumpulan sembang.

Jika ragu-ragu, hubungi Talian Bantuan ScamShield 24 jam di 1799 untuk pengesahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg