Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 100 relawan tampil kutip dana bantu mangsa bencana Nepal
Lebih 100 relawan tampil kutip dana bantu mangsa bencana Nepal
Lebih 100 relawan berhimpun untuk menjayakan satu acara kutipan dana untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan bagi mangsa bencana banjir serta tanah runtuh di Nepal.
Dianjurkan oleh pertubuhan kemanusiaan serantau yang berpangkalan di Singapura, Humanity Matters, inisiatif pengumpulan dana di jalanan ini menghimpunkan relawan dari sekurang-kurangnya sembilan negara Asia dan Eropah.
Humanity Matters menyasarkan untuk mengutip $300,000 melalui beberapa inisiatif yang diadakan dari 14 September hingga 31 Oktober bagi membiayai projek pemulihan di Nepal.
Setakat ini, sebanyak $160,000 telah berjaya dikumpul, menurut kenyataannya.
Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada penyediaan tempat tinggal bagi anak yatim, serta bekalan tempat tidur dan air bersih untuk keluarga yang terjejas sebelum musim sejuk bermula.
Majlis telah dirasmikan tetamu terhormat acara itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, bersama Pengerusi Humanity Matters, Encik Ong Keng Yong.
Dilengkapi dengan tabung derma, kumpulan dari pelbagai latar belakang itu telah mengumpul dana di jalanan pada 27 September, sambil mengedarkan pelekat, One Nation, One Humanity, bagi menegaskan nilai sejagat seperti kasih sayang dan semangat kejiranan di seluruh masyarakat majmuk Singapura.
Dalam ucapannya semasa acara itu, Encik Zaqy berkata masyarakat di Singapura telah tampil membantu melalui beberapa badan, termasuk Humanity Matters, Mercy Relief, Palang Merah Singapura (SRC) dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin.
“Banyak nyawa telah terkorban (dalam kejadian di Nepal) dan keluarga serta masyarakat terus berdepan dengan kesannya.
“Ingatan kami sentiasa bersama mereka yang terjejas. Di Singapura, saya amat berbesar hati melihat orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat tampil membantu... Inilah kemanusiaan yang diterjemahkan melalui tindakan,” katanya, sambil menekankan sifat ihsan tidak kenal warganegara, kaum atau agama.
Antara yang turun padang ialah mantan guru, Cik Rosiah Ahmad, 61 tahun, yang telah menjadi sukarelawan bersama Humanity Matters selama kira-kira tiga hingga empat tahun.
Beliau mula aktif dalam kerja sukarela ketika masih mengajar dan berkata keinginannya untuk terus membantu berpunca daripada rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Saya rasa saya perlu menyumbang kembali kepada masyarakat,” katanya.
Sepanjang penglibatannya bersama Humanity Matters, Cik Rosiah telah membantu dalam pelbagai kegiatan, termasuk agihan makanan, tugas pentadbiran dan usaha kutipan dana.
Baginya, kerja sukarela juga mencerminkan tanggungjawab sesama manusia untuk saling membantu ketika diperlukan.