Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 1,000 kenderaan dalam simpanan Polis Trafik

Nov 12, 2024 | 1:16 PM
Menguruskan kenderaan yang disita menambahkan kos penyimpanan am di perkarangan kenderaan Polis Trafik, kata polis.
Menguruskan kenderaan yang disita menambahkan kos penyimpanan am di perkarangan kenderaan Polis Trafik, kata polis. - Foto ST

Terdapat lebih 1,000 kenderaan di perkarangan kenderaan Polis Trafik (TP) di Airport Road pada akhir Oktober, dengan dua daripadanya berada di sana sejak 2015.

Demikian didedahkan oleh pihak polis sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) pada 11 November, hari yang sama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) membentangkan Rang Undang-Undang di Parlimen untuk meminda Akta Lalu Lintas Jalan Raya bagi memberi insentif kepada pemilik mengambil semula kenderaan atau treler mereka yang telah disita dengan segera.

Polis boleh menyita kenderaan jika mereka percaya ia ada kaitan dengan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Lalu Lintas Jalan Raya.

“Kenderaan itu disimpan di perkarangan sehingga tamat siasatan dan prosiding mahkamah, dan selepas itu, sehingga pemilik mengambil kenderaan tersebut,” tambah polis.

Undang-undang semasa membenarkan TP melupuskan sebarang kenderaan, sekiranya pemiliknya tidak menuntut kenderaan itu dalam tempoh satu bulan selepas ia ditahan, dan setelah pemilik diberi tempoh notis sewajarnya.

Namun, MHA berkata TP tidak boleh melupuskan kenderaan yang telah dituntut oleh pemilik, tetapi lambat mengambilnya.

Pihak polis memberitahu ST bahawa kelewatan pengambilan kenderaan biasanya disebabkan oleh pemilik yang sedang bekerja atau melancong di luar negara, atau sedang dalam cuti sakit atau perubatan.

Sebenarnya, pemilik dibolehkan memberi kuasa kepada pihak ketiga untuk mengambil kenderaan yang disita bagi pihaknya.

Menguruskan kenderaan yang disita – termasuk penjagaan, penyelenggaraan dan melakukan pemeriksaan keselamatan – menambah kos penyimpanan am di perkarangan kenderaan TP, kata polis.

Jika Rang Undang-Undang (Pelbagai Pindaan) Lalu Lintas diluluskan, pemilik kenderaan perlu mendapatkan semula kenderaan yang telah dirampas TP dalam tempoh yang ditetapkan, setelah menuntutnya.

TP boleh mengenakan caj kepada pemilik jika mereka gagal mengambil kenderaan yang disita dalam tempoh yang ditetapkan, dan bayaran penstoran harian itu perlu dibayar sebelum kenderaan dilepaskan kepada pemiliknya.

Sebulan selepas tarikh akhir pengambilan, pihak polis boleh melupuskan atau menjualnya melalui lelongan.

Undang-undang yang dikemas kini ini juga akan meliputi kenderaan yang sedang disita.

Buat masa ini, polis boleh mengenakan bayaran dalam situasi tertentu, seperti jika pemilik kenderaan disabitkan kesalahan atau jika kesalahan tersebut diselesaikan secara kompaun.

Selain itu, TP boleh menuntut bayaran penstoran atau pemindahan – yang dikenakan ke atas kenderaan yang diletakkan secara haram atau ditinggalkan di jalan raya awam hingga menghalang laluan – daripada hasil jualan atau pelupusan kenderaan yang tidak dituntut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg