Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 1,000 peserta sertai acara jalan kaki di East Coast, tingkat kesedaran bahaya vape

Nov 30, 2025 | 9:04 PM
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, bersama pembuat filem, Jack Neo, merasmikan acara berjalan kaki pada 30 November. Acara itu bertujuan mempertingkat kesedaran mengenai bahaya vape, dengan ia disertai lebih 1,000 peserta, termasuk penduduk East Coast, pelajar, ibu bapa dan warga senja.
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, bersama pembuat filem, Jack Neo, merasmikan acara berjalan kaki pada 30 November. Acara itu bertujuan mempertingkat kesedaran mengenai bahaya vape, dengan ia disertai lebih 1,000 peserta, termasuk penduduk East Coast, pelajar, ibu bapa dan warga senja. - Foto GRC EAST COAST

Lebih 1,000 peserta, termasuk penduduk GRC East Coast, pelajar, ibu bapa dan warga senja mengambil bahagian dalam satu kegiatan berjalan kaki untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya vape pada 30 November, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan masyarakat bagi belia.

Peserta berjalan sepanjang 3.2 kilometer, bermula dari Sekolah Victoria di Siglap Link dan berakhir di Outward Bound Singapore (OBS) di Taman East Coast.

Acara berjalan kaki itu adalah antara kegiatan yang diadakan sebagai sebahagian daripada pelancaran ‘One Last Breath’ – filem kedua dalam siri kisah benar enam bahagian yang menangani isu-isu belia seperti vape, pembulian dan tekanan akademik melalui terapi filem.

Inisiatif masyarakat tersebut diterajui GRC East Coast bersama Character & Leadership Academy (CLA).

Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, bersama pembuat filem, Encik Jack Neo, merasmikan acara berjalan kaki itu di Sekolah Victoria.

Turut hadir ialah AP GRC East Coast yang lain, termasuk Encik Dinesh Vasu Dash dan Cik Hazlina Abdul Halim.

Encik Tong berkata masyarakat East Coast percaya bahawa kepimpinan bererti tindakan serta menyokong perkara yang memperkukuh keluarga dan generasi masa depan.

“Daripada menangani isu buli hinggalah menangani vape, kami bekerjasama dengan pertubuhan seperti CLA untuk mencari cara baru untuk berhubung dengan belia.

“Penceritaan melalui filem adalah salah satu cara sedemikian, ia berkomunikasi dengan belia dalam bahasa yang mereka fahami dan menyatukan keluarga untuk belajar, merenung dan berkembang.

“Kerjasama ini juga merangkumi visi East Coast untuk menjadi tempat untuk belajar, untuk mengambil berat antara satu sama lain dan bagi masa depan di mana penduduk, kumpulan masyarakat dan perniagaan bekerjasama dengan tujuan menjadikan East Coast benar-benar istimewa,” kata beliau.

Menyusuli acara berjalan kaki yang berakhir di OBS itu, peserta dan keluarga mereka menikmati masa berkelah dengan muzik dan sesi nyanyi bersama, diikuti dengan tayangan filem ‘One Last Breath’ dan ‘One Last Straw’.

Dua filem pendek itu meraih inspirasi daripada peristiwa benar yang memaparkan cabaran yang dihadapi belia dengan vape, ketagihan dan pembulian.

Pengarah Eksekutif CLA, Encik Delane Lim, berkata:

“Kerjasama dengan GRC East Coast membolehkan kami membawa kisah ini di luar bilik darjah dan berkongsi bersama keluarga, kumpulan agama dan masyarakat, di mana perbincangan mengenai watak, pilihan dan belas ihsan boleh bermula.

“Bersama, kami bukan hanya membentuk kesedaran, tetapi juga budaya mengambil berat; yang akan membantu setiap belia berkembang maju dengan tujuan dan harapan.”

Cik Hazlina pula berkata filem ‘One Last Breath’ memberi gambaran penting dan jujur tentang kemusnahan yang boleh berlaku akibat vape.

“Kami berharap ia memberi inspirasi kepada ibu bapa dan belia untuk melengkapi diri, diperkasa, dan memilih kehidupan bebas vape. GRC East Coast sedia membantu keluarga,” kata beliau.

Salah seorang peserta, Cik Marsha Shahrin, 25 tahun, berkata penglibatan beliau dalam acara itu memberikan beliau “rasa kekitaan yang sebenar” dalam sebuah masyarakat yang mengambil berat tentang satu sama lain.

“Penggunaan vape mungkin kelihatan tidak berbahaya pada mulanya, tetapi ia boleh menjerat orang muda dengan cepat dalam ketagihan dan menjejas kesihatan dan keyakinan mereka.

“Usaha membina Singapura yang bebas vape bermula dengan setiap daripada kita yang cukup mengambil berat untuk bertindak, dan saya berbangga dapat memainkan peranan kecil saya,” kata beliau, seorang peguam pelatih.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg