Hampir 1,100 orang berkumpul di OCBC Square, Hab Sukan Singapura, pada 25 April bagi menghadiri Perarakan Stokin Warna Minds 2026.

Acara yang kini memasuki edisi kelima itu telah berkembang menjadi Fiesta Sukan Inklusif yang meriah. Ia bertujuan memperjuang sokongan dan keterangkuman bagi golongan kurang upaya intelektual melalui sukan.

Dirasmikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, pesta tersebut menekankan bagaimana aktiviti fizikal boleh berfungsi sebagai wadah penting bagi mengukuhkan hubungan masyarakat.

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (tengah) tiba dengan sambutan mesra dram bersama Pengerusi Lembaga Minds, Encik Geoffrey Ong (kiri), dan Timbalan Ketua Eksekutif dan Pengarah Kumpulan (Perkhidmatan), Minds, Cik Koh Gee May (kanan).
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi (tengah) tiba dengan sambutan mesra dram bersama Pengerusi Lembaga Minds, Encik Geoffrey Ong (kiri), dan Timbalan Ketua Eksekutif dan Pengarah Kumpulan (Perkhidmatan), Minds, Cik Koh Gee May (kanan). - Foto MINDS

Bola sepak menjadi tumpuan utama tahun ini, dengan Perlawanan Bola Sepak Inklusif yang menampilkan pasukan yang terdiri daripada klien dan sukarelawan Minds.

Peserta bermain dalam pusingan pendek yang direka khas untuk menggalakkan kerjasama berpasukan, pencapaian bersama dan penyertaan.

Mantan pemain bola sepak nasional, Faritz Hameed, turut menyertai acara tersebut.

Menurut Minds, pengalaman bersama itu direka untuk melangkaui aktiviti fizikal semata-mata, sebaliknya menyokong kesejahteraan keseluruhan peserta.

Ia juga membantu membina keyakinan diri, mengukuhkan hubungan sosial, serta mewujudkan peluang penglibatan yang bermakna buat golongan kurang upaya.

Pengerusi Lembaga Minds, Encik Geoffrey Ong, berkata:

“Perarakan Stokin Warna telah menjadi platform di mana kami meraikan kebolehan dan bakat orang kurang upaya intelektual, sambil menyatukan masyarakat yang lebih luas untuk menyokong keterangkuman.

“Apabila peluang dicipta dan sokongan disediakan, individu boleh meningkatkan keyakinan dan boleh mencapai lebih banyak lagi. Keterangkuman berkembang apabila setiap daripada kita mengambil langkah ke hadapan.”

Semasa acara tersebut, orang ramai juga secara aktif mengambil bahagian dalam acara Pencarian Juara Inklusif, dengan melengkapkan stesen sukan yang boleh diakses seperti berbasikal tangan, badminton dan cornhole untuk mendapatkan lencana Juara Inklusif.

Program itu dimeriahkan lagi dengan persembahan kugiran, tarian dan dram oleh klien Minds, sukarelawan dan rakan kerja masyarakat.

Acara tersebut turut menampilkan acara pengumpulan dana “Paint-a-Ball”, di mana penderma yang menyumbang $60 dijemput untuk melukis bola sepak.

Menurut Minds, inisiatif ini akan diteruskan melalui pelbagai acara kemasyarakatan di seluruh Singapura untuk melibatkan lebih ramai penduduk dalam usaha menyokong keterangkuman.

Selain sukan, pengunjung juga berpeluang menyokong pekerjaan inklusif dengan membeli barangan daripada Minds Craft, Minds Bakers dan Minds Farm di acara tersebut.

Penjaga juga dapat meneroka rangkaian sokongan yang tersedia di reruai khusus.

Kempen Perarakan Stokin Warna 2026 berlangsung dari 1 April hingga 30 Jun sempena Hari Sindrom Down Sedunia dan Hari Kesedaran Autisme Sedunia.

Dalam tempoh ini, sekolah, hab dan program Minds akan menganjurkan beberapa siri acara tempatan untuk mengekalkan momentum dan menawarkan peluang berterusan kepada orang ramai untuk menyokong orang kurang upaya dan keluarga mereka.