Lebih 10,000 pasangan suami isteri dan keluarga akan terlibat dalam satu kajian selama 10 tahun bagi memahami bagaimana keperluan, cabaran dan daya tahan mereka berubah sepanjang pelbagai peringkat kehidupan.

Kajian bertajuk, Resilience and Outcomes Over Time in Singapore Families (Roots), itu akan meneliti perjalanan keluarga daripada perkahwinan dan keibubapaan hingga membesarkan anak serta menghadapi perubahan besar lain dalam kehidupan.

Ia bakal dimulakan pada 2028 dan diterajui Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Kajian itu melibatkan pasangan yang baru berkahwin pada 2028 serta mereka yang sudah berumah tangga antara dua hingga sembilan tahun, sama ada sudah memiliki anak mahupun belum.

Mengumumkan demikian semasa majlis penutup Persidangan Keluarga Asia 2026 pada 18 November di Hotel Shangri-La, Menteri Negara Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, berkata penyelidikan itu penting bagi memahami perubahan keperluan keluarga dari semasa ke semasa.

“Dapatan ini akan membantu kita menjangkakan perubahan keperluan keluarga, memahami bagaimana daya tahan keluarga berkembang dan menyediakan sokongan tepat pada masanya apabila ia paling diperlukan,” katanya.

Pengambilan peserta dijangka bermula pada 2028, dengan butiran lanjut mengenai penyertaan akan diumumkan kelak.

Dalam ucapannya, Encik Goh turut menekankan bahawa meskipun struktur keluarga berubah, kepentingannya dalam kehidupan masyarakat tetap utuh.

“Bentuk keluarga kita mungkin berubah, tetapi keperluan kita terhadap keluarga tidak berubah.

“Dalam dunia yang menyaksikan perubahan pesat teknologi dan ketidaktentuan yang semakin meningkat, keluarga kekal sebagai antara sumber kestabilan, jati diri dan rasa kekitaan yang paling penting,” ujar beliau.

Encik Goh menambah, keluarga di Asia kini berdepan perubahan seperti saiz isi rumah yang semakin kecil, perkahwinan pada usia lebih lewat serta tanggungjawab penjagaan yang semakin meningkat.

Beliau merujuk kepada Laporan Keadaan Keluarga Asean 2026 yang dilancarkan buat julung-julung kalinya pada 17 November di Hotel Shangri-La.

: Antara dapatan utama laporan itu ialah usia median bagi perkahwinan pertama semakin meningkat dalam kalangan lelaki dan wanita di kebanyakan negara Asean.

Kadar kesuburan di kebanyakan negara turut merosot di bawah paras penggantian penduduk iaitu 2.1 kelahiran bagi setiap wanita.

Paras ini merujuk kepada kadar yang diperlukan untuk mengekalkan jumlah penduduk dari satu generasi ke generasi seterusnya tanpa mengambil kira penghijrahan.

“Di Singapura, ramai golongan muda masih mementingkan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga, namun mereka berdepan pelbagai tekanan, termasuk soal perumahan, kerjaya, kestabilan kewangan dan tanggungjawab menjaga anggota keluarga,” ujar Encik Goh.

Dalam pada itu, beliau menambah, MSF akan menyemak struktur, proses dan dasarnya supaya sokongan yang disediakan mengambil kira keperluan seluruh keluarga, bukan hanya individu atau program tertentu.

Namun, beliau menambah, usaha itu tidak boleh digalas pemerintah semata-mata.

Pertubuhan khidmat sosial dan rakan masyarakat turut memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan praktikal serta bimbingan kepada keluarga yang menghadapi cabaran lebih besar, tambah beliau.

“Dasar kekeluargaan bukan sekadar menyediakan bantuan, malah juga demi memupuk keyakinan untuk mendirikan rumah tangga, mempunyai anak dan menjaga ibu bapa yang semakin lanjut usia, dengan jaminan bahawa keluarga tidak perlu menghadapi cabaran bersendirian apabila berdepan kesukaran hidup,” ujar beliau.

Persidangan dwitahunan edisi kelima itu dianjurkan bersama MSF dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dari 17 hingga 18 November.