Lebih 10,000 keluarga Melayu/Islam terima pek barangan dapur sihat
Lebih 10,000 keluarga Melayu/Islam terima pek barangan dapur sihat
Projek ‘Jaga Kesihatan, Jaga Ummah’ galak keluarga kurangi pengambilan gula, sodium sambil buat pilihan makanan lebih sihat pada Ramadan
Lebih 90 rakan kerjasama projek Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) berganding bahu pada Ramadan ini dalam satu usaha jangkauan kesihatan terbesar setakat ini untuk masyarakat Melayu/Islam.
Rakan masyarakat JKJU, termasuk masjid serta pertubuhan masyarakat dan akar umbi, menganjurkan usaha pengagihan pek barangan runcit lebih sihat sambil bekerjasama dengan rakan sumber JKJU untuk menyampaikan ceramah kesihatan bersifat peka budaya, bengkel serta reruai interaktif bagi masyarakat Melayu/Islam.
Lebih 14,000 keluarga meraih manfaat berkenaan melalui pelbagai inisiatif kesihatan yang disasarkan di seluruh negara.
Usaha jangkauan itu menandakan peningkatan ketara berbanding 2025, dengan lebih banyak lokasi dan kegiatan yang diperluaskan serta kerjasama lebih meluas.
Di bawah Bidang Tumpuan 5 M Kuasa 3 (Muis, Mendaki dan PA Mesra) mengenai kesihatan masyarakat, Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) bekerjasama dengan rakan-rakan JKJU bagi mendekati masyarakat Melayu/Islam sepanjang Ramadan.
Misinya adalah menggalakkan amalan gaya hidup sihat yang mampan.
Pengagihan pek barangan dapur yang berlangsung dari Februari hingga Mac meluaskan sokongan ke lebih banyak kejiranan, meliputi lebih 100 lokasi di seluruh Singapura, meningkat daripada lebih 70 lokasi pada 2025.
Setiap pek barangan dapur mengandungi garam rendah sodium, sos dan perencah rendah sodium, minyak masak lebih sihat, beras perang, bihun beras perang serta minuman rendah gula.
Pada 7 Mac, Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, menyertai para relawan di Kelab Masyarakat Hong Kah North untuk mengagih pek barangan dapur kepada 300 keluarga.
Dalam satu catatan di Facebook, Cik Rahayu menekankan kepentingan inisiatif pengagihan pek tersebut.
“Setiap pek barangan dapur mengandungi makanan yang mempunyai simbol Healthier Choice (Pilihan Lebih Sihat), yang membantu keluarga mengurangkan pengambilan gula dan sodium sambil membuat pilihan makanan lebih sihat.
“Saya berasa terharu dapat bertemu dengan keluarga yang menerima pek ini serta para relawan yang menjayakan usaha pengagihan ini,” tambah beliau.
Sehingga 7 Mac, hampir 10,200 keluarga telah mengambil pek barangan dapur mereka dari lebih 100 lokasi di serata negara.
Selain pengagihan pek barangan, JKJU dengan sokongan HPB turut menganjurkan lebih 40 kegiatan penggalakan kesihatan.
Kegiatan itu merangkumi ceramah kesihatan yang peka budaya, bengkel serta reruai interaktif yang menyentuh topik kesihatan seperti penuaan sihat, pemakanan bagi menangani isu berkaitan obesiti, serta kepentingan menjalani saringan kesihatan secara berkala.

