Penghuni rumah tumpangan Pertapis pimpin sesi kesejahteraan mental sempena Hari Wanita
Penghuni rumah tumpangan Pertapis pimpin sesi kesejahteraan mental sempena Hari Wanita
Walaupun Nana (bukan nama sebenar) merupakan seorang remaja yang pendiam dan suka memencilkan dirinya, dia melangkah keluar daripada zon selesanya memikul peranan yang tidak dijangka – menjadi pemudah cara perbincangan mengenai kesejahteraan mental.
Melalui sesi bengkel latihan menggunakan permainan kad yang dihasilkan perusahaan sosial Growth Beans, Nana, 15 tahun, menemui cara yang lebih tersusun untuk membimbing perbualan serta berkongsi pandangannya dengan orang lain.
Dia merupakan antara lima remaja perempuan dari rumah tumpangan Pertapis – yang sebahagiannya merupakan mangsa penderaan – yang dilatih untuk memudah cara permainan kad kesejahteraan mental, Gro dan Beantastic.
Inisiatif itu bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran komunikasi dan kepimpinan, di samping membantu mereka memahami emosi diri dengan lebih mendalam.
Para remaja itu telah mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dalam acara ‘Reflection and Renewal’ sempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac.
Acara ini dianjurkan oleh Ladies Lounge – satu inisiatif menghimpunkan wanita dari pelbagai latar kehidupan menerusi acara yang dicorak khas, berteraskan pemerkasaan wanita – dengan kerjasama Pertapis.
Dalam acara berkenaan, para penghuni rumah kediaman itu memudah cara sesi permainan kad untuk kumpulan wanita yang diundang sebagai sebahagian daripada acara malam yang memberi tumpuan kepada refleksi diri, kesejahteraan mental dan pengukuhan hubungan masyarakat.
Seorang pegawai program Pertapis yang bekerja rapat dengan para remaja itu, berkongsi dengan Berita Harian (BH) tujuan bengkel kesejahteraan mental tersebut bukan sahaja untuk menyokong kesejahteraan emosi penghuni, malah memperkasa mereka agar dapat membantu masyarakat pada masa hadapan.
“Bermain permainan ini merupakan satu perkara yang diteroka, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk menjadi pemudah cara adalah sesuatu yang berbeza.
“Peranan sebagai pemudah cara melatih mereka agar lebih peka dalam mendengar dan memberi respons kepada orang lain. Mereka juga berpeluang melangkaui pengalaman trauma peribadi, walaupun seketika, untuk memberi perhatian kepada orang lain,” jelasnya.
Permainan kad tersebut dibangunkan oleh Growth Beans bagi menggalakkan refleksi diri dan pembangunan peribadi melalui soalan berbentuk bimbingan.
Pengarah, yang juga Pengurus Perkembangan Growth Beans, Encik Dylen Liau Chi Yong, berkata permainan itu mengandungi soalan berbentuk kejurulatihan yang menggalakkan pemain mengenali diri mereka dengan lebih mendalam.
“Bagi para remaja ini, ia banyak membantu mereka memahami diri sendiri, meningkatkan kesedaran diri serta merapatkan jurang komunikasi antara mereka dengan rakan sebaya.
“Terutamanya jika terdapat rasa tidak puas hati, permainan ini menyediakan persekitaran yang lebih selamat untuk berkongsi kerana perbualan dirujuk kepada kad yang dipilih,” katanya.
Permainan Beantastic membantu pemain mengenal pasti punca tekanan serta membincangkan cara mengatasinya bersama pemain lain.
Sementara itu, permainan Gro menggunakan konsep berkebun sebagai metafora kehidupan, yang menggalakkan pemain merenung tentang keutamaan dan ketahanan diri.
Bagi Nana, pengalaman tersebut membantunya meluahkan perasaan yang sebelum ini sering dipendam.
Menggambarkan dirinya sebagai seorang ‘ambivert’ – kadangkala pendiam, kadangkala terbuka – beliau berkata struktur permainan itu memudahkan dirinya berkongsi perasaan.
“Saya mendapati kad tertentu yang mengandungi soalan seperti ‘Apakah yang anda perhatikan tentang cara anda mengatasi cabaran?’ memudahkan saya berkongsi perasaan semasa bermain,” katanya.
Beliau menambah peranan sebagai pemudah cara turut mengajarnya tentang kesabaran dan kepimpinan.
“Kadangkala ada yang tidak memahami peraturan permainan, jadi saya memperlahankan sedikit rentaknya,” katanya.
“Saya belajar memimpin dengan memahami keperluan orang lain.”
Seorang lagi penghuni rumah kediaman itu, Ilya (bukan nama sebenar), 16 tahun, turut mendapati latihan tersebut membantunya agar lebih terbuka berkongsi perasaan di samping belajar mendengar dengan lebih teliti apabila orang lain meluahkan emosi mereka.
Kedua-dua remaja itu menjadi antara penghuni yang menjadi pemudah cara sesi permainan dalam acara pada 8 Mac – sesuatu yang menurut Nana membuatkanya rasa teruja dan pada masa yang sama sedikit gementar.
“Saya dapat bertemu orang yang berbeza dan memudah cara bersama mereka yang lebih tua daripada saya.
“Ia mendebarkan tetapi pada masa yang sama buat saya rasa sangat teruja,” jelasnya.

