Daripada pasta ayam bolognese kepada nasi beriani dan bubur ikan, lebih 100,000 hidangan sedia makan dan tahan berbulan lamanya akan diagihkan kepada sekolah-sekolah dan pusat penuaan aktif sempena Latihan Pertahanan Mutlak tahun ini.
Paling istimewa, hidangan itu semuanya makanan ‘segera’ , tidak perlu disimpan dalam peti sejuk dan boleh dimakan langsung dari bungkusan tanpa dipanaskan.
Pek hidangan sedia dimakan (RTE) itu akan diagihkan kepada lebih 90 sekolah dan tiga kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Ia juga akan diberikan kepada sekitar 8,000 warga emas di 111 pusat penuaan aktif (AAC).
Hidangan RTE itu halal dan disiapkan oleh Sats.Ltd (Sats) dan pek yang dibuka tidak akan basi dan boleh tahan sehingga 12 bulan.
Apabila dibuka, ia harus dimakan dalam tempoh empat jam, kata Ketua Inovasi dan Pembangunan Produk di Sats, Cik Jean Sin.
Justeru, ia sesuai dimakan jika gangguan bekalan elektrik berpanjangan berlaku di Singapura, yang bermakna peralatan elektrik harian seperti peti sejuk dan dapur memasak tidak boleh dihidupkan.
Dalam kenyataannya pada 15 Februari, Sats berkata ia akan membekalkan sehingga 150,000 hidangan RTE dalam tempoh 15-28 Februari.
Lima sajian yang diedarkan sempena Latihan Pertahanan Mutlak ialah pasta ayam bolognese; kari ayam dengan nasi beriani; bubur ikan dengan keledek dan labu, ikan tomato pedas manis dengan nasi basmati dan pasta marinara sayuran.
Hidangan itu dimasak menggunakan hasil tempatan, termasuk telur puyuh, cendawan, sayuran dan ikan.
Bercakap dengan media di satu acara khas yang diadakan untuk merasa hidangan itu, Cik Sin berkata Sats telah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara empat hingga enam bulan untuk menyediakan hidangan tersebut. Ini termasuk menguji tempoh ‘bertahan’ hidangan sebelum ia rosak.
Pada mulanya, ia mempunyai 10 jenis hidangan, tetapi ‘menu’ telah dikurangkan kepada lima, misalnya.
Sats telah menggunakan kaedah pensterilan ‘retort’ untuk membunuh bakteria dan kuman yang lazimnya menjadi punca makanan rosak.
Secara kasar, semasa proses penyediaan, makanan dipanaskan dalam bekas tertutup sehingga mencecah suhu yang ditetapkan dan bagi tempoh tertentu.
“Hidangan dipilih untuk menampilkan bahan keluaran tempatan dan makanan alternatik... yang memenuhi keperluan pelbagai kumpulan etnik serta citarasa rakyat tempatan. Ini termasuk pilihan golongan ‘vegan’ yang hanya makan sayur-sayuran dan hidangan mesra warga emas,” ujar Cik Sin lagi.
Dalam satu sesi uji rasa yang diatur khas untuk media di Sats Global Innovation Hub yang terletak di Old Parliament House pada 13 Februari, wartawan diberi peluang mencuba dan membandingkan hidangan RTE pada suhu bilik dengan yang telah dipanaskan.
Rumusannya, perbezaan rasa adalah minimal (sedikit sahaja), kecuali pada lauk kari yang menjadi lebih aromatik dengan rempahnya yang lebih menyerlah apabila dipanaskan.
“Tidak seperti catuan makanan tentera, hidangan ini lebih menekankan kepada penerimaan rasa dan keperluan diet harian masyarakat awam, dengan fokus pada penyediaan makronutrien penting seperti karbohidrat dan protein,” ulas Cik Sin ketika menjawab pertanyaan media mengenai perbezaan antara catuan makanan tentera dan hidangan RTE.
Mengenai kemungkinan memperluaskan hidangan RTE bagi pengguna yang lebih luas, Sats berkata hidangan khusus untuk golongan yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, warga emas, ataupun jemaah haji boleh disediakan atas permintaan.
Namun, ia mengambil tempoh lama kerana ia memerlukan R&D termasuk pemilihan bahan serta pengeluaran dalam skala besar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg